Ahad, 1 Mei 2011

Himpunan 1 Mei - 21 Ditahan Termasuk Ahli Parlimen

TVS NEWS


KUALA LUMPUR : Polis menahan 21 termasuk Ahli Parlimen Sungei Siput Dr D. Jayakumar yang menyertai perhimpunan sempena hari pekerja di ibu negara hari ini.

Turut ditahan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arutchelvam.

Arutchelvam ditahan sejurus memberi kenyataan kepada media untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (SUHAKAM) mengenai tindakan polis menyuraikan perhimpunan aman mereka.

"Ada 75 NGO dan kumpulan yang yang menganjurkan perhimpunan hari ini dan tindakan polis menyuraikan mereka tidak betul dan bertentangan dengan hak asasi manusia. Kami akan membuat aduan kepada SUHAKAM tentang tindakan ini sekarang," kata beliau

Kira-kira 200 aktivis dan wakil pekerja kemudiannya berhimpun di depan ibu pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia di Maju Junction membantah penangkapan itu.

Di situ juga Polis bertindak menangkap beberapa lagi peserta himpunan termasuk Dr D Jeyakumar yang cuba berunding dengan pihak polis dalam melepaskan mereka yang ditahan.

Hal itu berlaku dihadapan Pesuruhjaya SUHAKAM James Nayagam yang menganggap perhimpunan aman Hari Buruh ini sah dari segi undang-undang.

"Hari ini 1 Mei, hari pekerja, semua pekerja ada hak untuk berkumpul secara aman ikut perlembagaan. Mereka boleh berkumpul di sini dan berikan apa-apa memorandum kepada saya.

"Kalau kumpul di sini, memang pejabat saya, memang ada hak, kawasan persetujuan. Saya akan terima aduan dan akan bersama pesuruhjaya lain buat siasatan tentang apa yang berlaku," jelas James kepada TV Selangor

Penyelaras NGO hak asasi manusia Suara Rakyat Malaysia (Suaram) E Nalini kemudiannya menbuat lapioran polis dan menuntut Ketua Polis Daerah Dang Wangi OCPD Zulkarnain Abdul Rahman yang mengetuai pasukan polis hari ini dipecat kerana melakukan pencabulan hak asasi manusia.

"Kami buat laporan polis terhadap OCPD Zulkarnain kerana arahan beliau dalam mengawal perarakan hari ini.Kami berhimpun secara aman namun beliau telah memberi arahan dan menyebabkan beberapa insiden keganasan polis berlaku. Beberapa orang kaum perempuan juga dipukul di Maju Junction. SUARAM membuat laporan ini untuk mendesak polis melepaskan mereka yang ditahan serta supaya Zulkarnain meletakkan jawatan beliau," kata Nalini.

Turut bersama dalam perhimpunan ini ialah Solidariti Mahasiswa Malaysia, gabungan kumpulan Mahasiswa yang memperjuangkan hak rakyat.

Pengerusinya Ahmad Syukri Abd Razab mahu Kerajaan Persekutuan mendengar suara rakyat sebelum menggubal apa-apa akta mengenai mereka seperti Akta Gaji Minima

"Akta (Gaji Minima) ini perlu dikaji semula kerajaan agar suara rakyat dapat didengar. Kami mahasiswa juga mendesak agar aktivis masyarakat yang ditangkap dibebas segera dan tidak akan berganjak selagi mereka tidak dibebas. Kita mahasiswa menyokong untuk kebebasan bersuara dan gaji minima yang dituntut oleh rakyat," kata beliau.

Tiada ulasan: