Selasa, 3 Mei 2011

Pecat Hata bukti Umno kongkong kebebasan akhbar

Harakahdaily

SHAH ALAM: Keputusan Utusan Malaysia memecat Hata Wahari memaparkan satu lagi tindakan Umno mengongkong kebebasan akhbar dan mengaibkan hak rakyat menerima kewartawanan yang berhemah tinggi.

Exco Kerajaan Negeri Selangor, Teresa Kok (gambar) berasa kesal di atas keputusan akhbar Utusan Malaysia memecat wartawan kanan dan Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), Hata Wahari.

Katanya, Hata telah dipecat kerana berani mengkritik tindakan Utusan Malaysia yang sengaja mengapi-apikan sentimen perkauman melalui penerbitannya dan mengambil pendirian yang berat sebelah terhadap Umno di dalam laporan politiknya.

Tambahanya, tindakan Utusan Malaysia ke atas Hata sudah lama dijangka dan tidak menghairankan banyak pihak kerana dasar kewartawanan Utusan Malaysia memang tidak berlandaskan fakta dan kejujuran tetapi lebih berdasarkan pemeliharaan keperluan politik Umno.

Pada 1 Mac 2011, ketua pengarang Utusan Malaysia, Datuk Aziz Ishak sendiri telah mengakui bahawa peranan Utusan Malaysia adalah untuk menyokong Umno dan Barisan Nasional. (Lihat: http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/utusans-role-is-to-back-umno-says-editor/ )

Secara praktiknya, kata beliau peranan Utusan Malaysia ialah untuk menyemai perasaan syak wasangka, inferiority complex dan benci di kalangan kaum Melayu terhadap kaum lain, demi mengukuhkan sokongan orang Melayu terhadap Umno.

“Demi kepentingan politik Umno, hak rakyat untuk menerima maklumat yang tepat yang berlandaskan fakta dan berhemah, dan pembangunan intelek rakyat digadaikan,” ujarnya yang juga ahli Parlimen Seputeh dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Oleh itu, kata Teresa isu pemecatan Hata Wahari bukanlah isu kecil pertarungan di antara seorang wartawan dan majikannya semata-mata.

Pemecatannya, tambah beliau harus dipandang berat oleh semua rakyat Malaysia kerana ia menonjolkan betapa tersekatnya kebebasan akhbar di Malaysia, dan monopoli media oleh Umno dan parti komponen Barisan Nasional yang lain.

“Saya ingin menyampaikan penghargaan dan penghormatan saya terhadap saudara Hata yang berani mengkritik Utusan Malaysia dan mempertahankan prinsip profesionalisme kewartawanan,” ujarnya.

Tambahnya, tindakan Hata untuk bertentangan dengan pihak pengurusan Utusan Malaysia dan Umno ini memang bukannya senang kerana tindakan beliau bermaksud beliau akan dipaksa melepaskan jawatan tingginya, iaitu wartawan kanan di dalam Utusan Malaysia.

Menurutnya, Hata tidak membisukan diri demi melindungi mata pencariannya di dalam Utusan Malaysia, tetapi beliau memilih untuk bersuara lantang mengkritik dasar pelaporan berita Utusan Malaysia yang tidak bertanggungjawab.

Ini, katanya menunjukkan keberanian, prinsip kewartawanan dan profesionalisme yang dipegang oleh beliau.

Baginya, kes pemecatan Hata sudah pun menjadi satu kes yang penting dalam sejarah dan kajian media dan kewartawanan Malaysia.

Justeru,m beliau menggesa para penyunting dan wartawan di Utusan Malaysia untuk menyemak objektif mereka untuk menceburi bidang kewartawanan.

“Tibalah masa bagi mereka untuk menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pemberita yang berhemah, dan bukan sekadar mengikut arahan pemain politik atasan secara membabi-buta,” katanya.

Katanya lagi, mereka haruslah sedar bahawa mereka mempunyai tanggungjawab yang berat untuk memberi laporan yang benar dan bernas, di samping menyemai nilai-nilai yang murni di kalangan masyarakat Malaysia.

“Memandangkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Akhbar Reporters Without Borders telah jatuh dari tangga 131 pada tahun 2009 ke tangga 141 pada tahun 2010, dan persepsi masyarakat antarabangsa terhadap kebebasan akhbar di Malaysia adalah amat negatif, saya menyeru para wartawan di Utusan Malaysia dan di media aliran utama untuk menjadikan Hata sebagai model wartawan mereka.

“Tibalah masa bagi wartawan di Malaysia untuk sama-sama berjuang untuk mengembalikan kebebasan dan kepertanggungjawapan akhbar di negara kita, di samping meningkatkan profesionalisme kewartawanan di Malaysia,” ujarnya.

Tiada ulasan: