Selasa, 17 Mei 2011

Guru diseru berjuang bersama Pakatan Rakyat

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Muslimat PAS Pusat menyeru guru-guru yang menghadapi tekanan pemerintah supaya meneruskan perjuangan bersama PAS dan Pakatan Rakyat.

Sehubungan itu, Ketua Penerangannya, Salbiah Abd Wahab berkata, pihaknya mengucapkan Selamat Menyambut Hari Guru 2011.

“Kepada semua yang bergelar pendidik yang terdiri daripada guru-guru di sektor awam dan swasta di semua peringkat persekolahan, Pasti, tadika, sekolah rendah dan menengah, institusi tinggi, kakitangan pejabat-pejabat pendidikan dan Kementerian Pelajaran Malaysia serta semua yang terlibat dengan profession perguruan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, golongan pendidik adalah merupakan golongan perkhidmatan awam yang terbesar di negara ini yang dianggarkan seramai 520,000 orang termasuk pegawai pendidikan dan pentadbir.

Tambahnya, guru-guru berada di seluruh pelosok negara dan menjadi nadi yang menghidupkan ekonomi setempat dan pembangunan modal insan.

Menurutnya, mereka tekad menjalankan tugas rasmi dan tidak rasmi profesyen perguruan tanpa mengira dan mengenal penat-lelah.

“Mereka jugalah yang diamanahkan untuk mempersiapkan dan menyediakan generasi pemimpin pelapis, yang berkebolehan dan berkeupayaan menyumbang tenaga dan bakti untuk kesejahteraan ummah dan ekonomi negara di masa hadapan negara,” ujarnya.

Oleh itu, tambahnya guru-guru mesti bersifat cekal dan anjal serta istiqamah dan bertaqwa kerana proses pendidikan sambung-menyambung dalam dunia yang semakin mencabar.

“Didiklah anak-bangsa tanpa mengira ras keturunan, insya Allah pengorbanan dan khidmat bakti anda akan membuahkan hasil apabila Pakatan Rakyat mengambil teraju kepimpinan negara di dalam PRU13 akan datang,” katanya.

Beliau berkata, PAS dan Pakatan Rakyat komited akan menawarkan kepada guru-guru elaun khas perguruan sebanyak RM500 seorang untuk mengangkat martabat perguruan dan seterusnya menarik lebih ramai cerdik-pandai menyertai profesyen perguruan.

Katanya, dengan tema Hari Guru 2011 tahun ini, ‘Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara’, Dewan Muslimat berharap ia bukan transformasi retorik pemerintah BN Umno.

“PAS dan Pakatan Rakyat akan mempastikan ia benar-benar transformasi pendidikan ke arah kesejahteraan, keunggulan dan kecemerlangan ummah dan negara dunia dan akhirat,” ujarnya.

Tiada ulasan: