Oleh Syed Mu’az Syed Putra
KUALA LUMPUR — Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) mengecam tindakan kerajaan menangkap ahli perniagaan warga Singapura di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) awal minggu lalu kerana disyaki terlibat dengan kumpulan militan di selatan Filipina.
Ahli perniagaan itu, Abdul Majid Kunji Mohamad ditahan di bawah ISA kerana disyaki terlibat menyalurkan dana dan memberi bantuan logistik kepada kumpulan militan di selatan Filipina.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, GMI menyifatkan penangkapan Abdul Majid, 60, di bawah ISA sebagai satu tindakan zalim serta melanggar prinsip asas hak asasi manusia, keadilan dan agama.
“Penahanan tanpa bicara Abdul Majid pada 6 Mei 2011 atas tuduhan yang tidak terbukti melanggar prinsip asas hak asasi manusia, keadilan, agama dan piawaian antarabangsa berhubung hak asasi,” kata GMI.
Tegas GMI, penangkapan Abdul Majid tanpa sebarang bukti membuktikan pencabulan dan kezaliman yang dilakukan pihak berkuasa.
Malah dakwaan mengatakan Abdul Majid menyalurkan dana kepada kumpulan militan juga adalah tidak berasas kerana ahli perniagaan itu kini mengalami masalah kewangan dan hampir muflis.
“Abdul Majid dituduh menyalurkan dana kepada kumpulan militan di selatan Filipina, tuduhan ini amat meragukan kerana Abdul Majid mengalami kesusahan kewangan.
“Selain itu keluarga Abdul Majid hanya diberitahu dia ditahan di bawah ISA dan menurut pihak polis mereka tidak mempunyai sebarang bukti, sebaliknya cuma bertindak atas laporan yang diterima, sehingga kini keluarga dan peguam masih belum dibenarkan untuk berjumpa Abdul Majid,” kata kenyataan itu lagi.
Justeru, GMI mengecam dengan keras penangkapan Abdul Majid dan menggesa kerajaan menjamin keselamatan warga Singapura itu sepanjang ditahan.
“GMI mengecam keras penahanan terbaru ini, kerajaan perlu menjamin keselamatan tahanan dan memaklumkan kepada ahli keluarga mereka serta khidmat guaman juga perlu dibenarkan.
“Sekiranya kerajaan memiliki bukti terhadap suspek, kami menggesa kerajaan untuk mendakwa dalam mahkamah terbuka, sesuai dengan hak untuk membela diri, hak mereka untuk mendapatkan khidmat peguam dan hak terhadap perbicaraan yang adil.
“Jika tidak, maka sesiapa pun termasuk Abdul Majid perlu dibebaskan tanpa tangguh dan tanpa syarat,” katanya.
Dalam kenyataan itu juga, GMI menuntut Kementerian Dalam Negeri untuk membebaskan Abdul Majid dengan segera atau dibicarakan di mahkamah ekoran tiada bukti menyabitkan bapa lapan anak itu dengan tuduhan itu.
Tiga hari selepas penangkapan Abdul Majid, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin berkata, penglibatan Abdul Majid dengan aktiviti kumpulan militan di Filipina adalah benar dan merupakan sesuatu yang serius.
Katanya, disebabkan itu, polis menangkap Abdul Majid yang menetap di sini agar tidak berlaku sebarang perkara yang tidak diingini.
“Kalau tidak, tak mungkin kita akan mengambil tindakan sebegitu rupa (menangkap) dan pemantauan yang rapi telah dilakukan, pihak risikan Singapura dan agensi-agensi berkenaan juga telah dimaklumkan berkenaan hal tersebut,” katanya
.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan