SHAH ALAM – Rakyat membuat pilihan menyokong Pakatan Rakyat (PR) menerajui Selangor kerana tidak berpuas hati dengan pentadbiran Barisan Nasional (BN) selama 50 tahun memerintah negeri terbabit.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, dalam tempoh tiga tahun, PR berjaya membuktikan bahawa pentadbirannya lebih baik berbanding BN.
Menurutnya, dasar dan program seperti ‘Merakyatkan Ekonomi Selangor’ yang dijalankan lebih bersifat mengutamakan rakyat.
“Banyak program kebajikan dan bantuan disalurkan seperti Skim Mesra Usia Emas (SMUE), Pemeriksaan Kesihatan: Mammogram dan 20 meter padu air percuma diberikan kepada rakyat.
“PR menang kerana sokongan rakyat dan keutamaan Kerajaan Negeri adalah untuk meringankan beban rakyat,” katanya kepada Sinar Harian ketika mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa berucap pada majlis ‘Malam Pemimpin Bersama Rakyat-Rakyat Didahulukan’ tentang perlunya BN bangkit membetulkan kekurangan dan kezaliman Kerajaan Negeri di Selangor.
Beliau berkata, matlamat BN merampas semula negeri itu bukan untuk rakyat tetapi demi kepentingan parti itu.
“Jika benar BN ingin merampas semula Selangor, ia adalah disebabkan untuk menutup kesalahan dan kekurangan sepanjang 50 tahun mentadbir.
“Terpulang kepada mereka untuk menang dalam pilihan raya akan datang dan rakyat mempunyai hak membuat pilihan,” katanya.
Khalid berkata, PR tetap akan meneruskan usaha memantapkan ekonomi dan dasar bersesuaian dengan keperluan rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan