Khamis, 19 Mei 2011

Borang MiMBAR percuma

Harakahdaily


SHAH ALAM: Mikrokredit Miskin Bandar Selangor (MiMBAR) dengan tegasnya mengesahkan bahawa semua borang permohonan yang diedarkan kepada oang ramai adalah percuma.

“Kenyataan ini dibuat ekoran terdapatnya aduan daripada orang ramai bahawa borang MiMBAR telah dijual pada harga RM50 sekeping,” kata Pengurus Perhubungan Awamnya, Nor’ain Eusoff dalam satu kenyataan.

Tambahnya, tindakan itu adalah bertentangan sama sekali dengan konsep MiMBAR yang mengamalkan kebajikan kepada peserta

Justeru itu, katanya orang ramai diingatkan jika ini berlaku, mereka dinasihatkan untuk mengambil nama individu yang terlibat dan nombor telefon individu terbabit.

Kemudian, ujarnya hendaklah dilaporkan segera kepada pengurusan MiMBAR dengan menelefon pejabat MiMBAR di talian 03-55101455.

Namun begitu, katanya maklumat tentang individu yang menjual borang permohonan MiMBAR perlu dibuktikan sebelum panggilan atau aduan dibuat kepada pihaknya.

“Perkara ini memang telah dijangkakan kerana pihak MiMBAR percaya ada pihak-pihak yang mungkin mahu program ini gagal,” ujarnya.

Namun begitu, jelasnya dalam borang permohonan telahpun dicetak “PERCUMA” secara jelas di atas borang tersebut.

Beliau berkata, jika orang ramai mendapat sebarang maklumat tentang individu yang tidak bertanggungjawab itu, ia haruslah dimaklumkan segera kepada pihak pengurusan MiMBAR dan pihak pengurusan akan mengambil langkah segera yang sewajarnya.

Tiada ulasan: