Jumaat, 20 Mei 2011

Bekas pembantu MB Selangor bebas tuduhan tipu

TERKINI

SHAH ALAM — Pemimpin PKR Mohd Yahya Mat Sahri, bekas pegawai kanan kepada Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dibebas dan dilepaskan daripada tuduhan menipu oleh Mahkamah Sesyen, hari ini.

Hakim Mahkamah Sesyen Azhaniz Teh Azman Teh membuat keputusan itu selepas pendakwa raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah gagal membuktikan tuduhan di luar keraguan munasabah bahawa Yahya telah melakukan kesalahan dimaksudkan.

Malah kata beliau, pihak pembela juga telah berjaya menimbulkan keraguan munasabah berhubung tuduhan ke atasnya.

Ketua cabang PKR Tanjung Karang berusia 44 itu berhadapan dengan tuduhan menipu Presiden Kumpulan Darul Ehsan Bhd (KDEB) berhubung Majlis Sambutan 100 hari Pakatan Rakyat dua tahun lepas.

Pada Disember lalu, mahkamah mengarahkan beliau membela diri kerana pihak pendakwa berjaya membuktikan kes prima facie.

Mohd Yahya dituduh menipu Presiden KDEB Datuk Abdul Karim Munisar untuk mempercayai bahawa sekretariat Pakatan Rakyat memohon sumbangan bagi membiayai majlis sambutan itu di Gardenia Coffee House, Quality Hotel, Shah Alam pada 4 Jun 2008.

Tertuduh selaku pengarah program acara itu, dituduh mendorong Abdul Karim untuk menyerahkan wang berjumlah RM50,000 kepada beliau sebagai sumbangan, sedangkan Abdul Karim tidak akan melakukannya sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, dan jika sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan disebat dan boleh juga didenda.

Seramai 36 saksi telah dipanggil untuk memberi keterangan - 28 orang dibawa pendakwa raya termasuk Tan Sri Khalid Ibrahim sendiri, Exco Kerajaan Negeri Datuk Dr Hasan Ali manakala empat di pihak pembela termasuk Adun Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad.

Di luar mahkamah kemudian, Mohd Yahya memberitahu pemberita bahawa beliau bersyukur dengan keputusan hari ini dan akan meneruskan kerja-kerjanya selaku ahli politik sepenuh masa.

Tiada ulasan: