Khamis, 5 Mei 2011

Adik Bekas Pengarah Perbadanan Putrajaya Dipenjara

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen Shah Alam menjatuhkan hukuman penjara 15 hari dan denda RM315,000 terhadap adik bekas pengarah Perbadanan Putrajaya Datuk Shahoran Johan Ariffin kerana menerima rasuah berjumlah RM63,000 enam tahun lalu.

Hakim Mat Ghani Abdullah juga memerintahkan hukuman penjara Azizi Johan Arifin, 54, bekas pengarah sebuah syarikat lanskap, ditambah 30 bulan jika gagal menjelaskan denda berkenaan.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan menyebut Azizi berdepan enam pertuduhan menerima wang tunai daripada Pengarah Sekitar Indah Sdn Bhd Mohd Kamil Sapuan, yang dimasukkan ke akaun bank miliknya.

Mengikut pertuduhan, wang itu adalah upah mendapatkan tender kerja-kerja penyelenggaraan lanskap di Persiaran Persekutuan, Persiaran Utara, Persiaran Barat, Lebuh Sentosa (Jambatan Seri Saujana) dan Lebuh Wawasan di Putrajaya.

Azizi diwakili peguam Ridzuan Johan Ariffin manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Josiendra Abu Senin.

Tiada ulasan: