Sabtu, 19 Februari 2011

Siasatan TBH: Tiada cap jari diambil

Joseph Sipalan

Pegawai forensik yang menyiasat tempat Teoh Beng Hock ditemui mati di bangunan yang menempatkan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor berkata beliau tidak mengambil sebarang cap jari yang ditemui di tempat kejadian, kerana tidak mempunyai cukup "ciri-ciri".


NONEDalam keterangannya kepada Suruhanjaya Diraja yang menyiasat kematian Teoh, ketua inspektor Mazli Jusoh Che Kob (kiri) berkata beliau hanya dapat menemui tiga hingga empat ciri pada cap jari di bingkai tingkap tingkat 14 Plaza Masalam, tempat Teoh didakwa jatuh menemui ajalnya dua tahun lalu.

Mazli menjelaskan bahawa cap jari yang boleh dibaca, memerlukan sekurang-kurangnya lapan ciri bagi dipertimbangkan untuk diambil.

Katanya, berdasarkan itu, beliau memutuskan untuk tidak mengambil cap jari itu atau mengambil gambarnya.

Siasatan suruhanjaya diraja itu bermula pada 14 Februari. Ia mempunyai tempoh tiga bulan dari tarikh ia ditubuhkan pada 26 Januari, untuk menyelesaikan siasatannya.

Mazli berkata, hanya sebahagian daripada cap jari itu diperolehi kerana debu yang terkumpul di bingkai tingkap.

Bagaimanapun, katanya, ia adalah cap jari baru kerana ada ciri-ciri yang belum ditutupi debu.

NONEKetika itu, pengerusi suruhanjaya diraja itu, Datuk James Foong (kiri)
memberitahu Mazli yang dia sepatutnya mengambil cap jari itu walaupun ianya tidak memberi apa-apa yang konklusif, sambil menegaskan bahawa setiap apa juga bukti, akan membantu kes.

Mengambil contoh dari siri jenayah popular di televisyen - CSI - hakim mahkamah persekutuan itu berkata, tidak masuk akal untuk memperolehi cap jari yang sempurna di tempat berlakunya jenayah.

"Kalau empat atau dua ciri pun, itu akan mencukupi. Ia mungkin tidak konklusif, tapi ia akan membantu mengimbangkan kemungkinan (penglibatan seorang individu).

"Jika cap jari itu sempurna, maka saya tidak perlukan anda. Saya boleh buat sendiri," kata Foong, sambil kedengaran bunyi ketawa di galeri.

Foong juga mencuit hati hadiran di dewan mahkamah sebelum itu apabila beliau mengadu tentang foto-foto yang berkualiti rendah yang dikemukakan sebagai bahan bukti.

Mazli kemudiannya memberitahu mahkamah bahawa jabatannya masih menggunakan kamera yang sama untuk mengambil tempat Teoh ditemui mati.

Foong (kiri) kemudiannya mencelah: "Sudah waktunya untuk mendapatkan kamera baru".

Mazli adalah saksi keenam dipanggil memberi keterangan kepada suruhanjaya tersebut.

Sementara itu, Bernama melaporkan Mazli memberitahu suruhanjaya siasatan kematian bahawa bahagian forensik Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam tidak menemui sebarang kesan pergelutan pada tingkap di mana mangsa dipercayai terjatuh.


Beliau yang bertugas sebagai pegawai penyiasat di tempat kejadian, berkata beliau tidak menemui sebarang kesan calar, pergelutan atau kotoran pada tingkap di tingkat 14, bangunan Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor.

Beliau berkata berdasarkan pengalamannya ketika menyiasat, sebarang pergelutan atau pergaduhan dapat dikesan berpandukan keadaan di tempat kejadian.

"Jika ada sebarang pergelutan atau pergaduhan di permukaan licin, ataupun lutsinar seperti kaca atau cermin, kita boleh nampak kesan tersebut," katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kewujudan kesan pergelutan di tempat kejadian.

Teoh, 30, setiausaha politik anggota exco Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Bagaimanapun, saksi keenam itu berkata terdapat satu kesan tompokan minyak, dipercayai daripada rambut seseorang yang menyandarkan kepalanya pada tingkap tersebut.

Mazli berkata walaupun terdapat kesan cap jari pada bingkai tingkap itu, ia tidak lengkap atau cukup sifat untuk dianalisis dan berdasarkan pemeriksaan mata kasar, beliau juga tidak nampak kesan lain seperti darah di tingkat tersebut.

Selain itu, katanya, tidak ada kerusi atau peralatan lain yang diletakkan pada lantai bagi membolehkan seseorang keluar daripada tingkap tersebut.

Suruhanjaya Siasatan itu dipengerusikan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen dan dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T. Selventhiranathan, Pakar Perunding Patologi Forensik, Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik serta Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Jan lepas, antara lain bagi menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner membuat 'keputusan terbuka' berhubung kes itu.

Prosiding yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kwan Li Sa itu disambung Isnin depan.

Tiada ulasan: