Selasa, 1 Februari 2011

PKR sanggup hilang pemimpin rasis macam MP Padang Serai

THE MALAYSIAN INSIDER


KUALA LUMPUR — Parti Keadilan Rakyat (PRK) sanggup kehilangan pemimpin-pemimpinnya yang rasis termasuk yang terbaru Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan yang mengumumkan keluar parti itu Sabtu lalu.

Pengarah Komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, Gobalakrishnan baru-baru ini telah menuduh berkali-kali bahawa parti komponen Pakatan Rakyat itu meminggirkan masyarakat India.

“Sebelum ini, Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Nordin (juga) menuduh PKR mengabaikan masyarakat Melayu.

“Tuduhan-tuduhan bercanggah ini membuktikan bahawa pemimpin yang masih terperangkap dengan mentaliti perkauman tidak sesuai berada dalam PKR, yang merupakan parti politik pelbagai kaum yang progresif,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Gobalakrishnan, 50, mengisytiharkan dirinya keluar PKR Sabtu lalu dan menjadi Ahli Parlimen Bebas.

Gobalakrishnan berkata, “saya sudah fed up (bosan) dengan (Penasihat PKR) (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) serta (Timbalan Presiden PKR) Azmin Ali, yang kini telah mengawal 100 peratus pentadbiran PKR.”

Katanya beliau bersama beberapa orang temannya terdiri daripada peguam, jurutera, doktor dan lain-lain akan menubuhkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memperjuangkan dan menjaga kepentingan pengundi di kawasan Parlimen Padang Serai.

Nik Nazmi yang juga Adun Seri Setia ini menambah, ramai pimpinan PKR telah menjawab tuduhan Gobalakrishnan secara spesifik dan menafikan dakwaannya bahawa parti itu meminggirkan masyarakat India.

“Masyarakat sendiri dapat menilai dakwaannya hanya terbit selepas beliau kalah dalam pemilihan dan tidak dilantik menjadi naib presiden parti,” katanya.

Dalam kenyataan media itu, Nik Nazmi juga berkata, seramai 45 peratus ahli PKR merupakan orang Melayu manakala masyarakat India pula terdiri daripada 23 peratus.

“Saya juga ingin membetulkan laporan Free Malaysia Today yang menyebut bahawa 40 peratus anggota PKR adalah dari masyarakat India sementara Gobalakrishnan pula menyatakan 90 peratus pimpinan PKR adalah dari masyarakat Melayu.

“Daripada 371,612 anggota PKR, Melayu adalah 45 peratus, Cina 11 peratus, India 23 peratus, Bumiputera Sabah, Sarawak dan lain-lain pula sebanyak 21 peratus,” katanya.

Menurunya, kepimpinan Majlis Pimpinan Pusat PKr untuk sesi 2010-2013 pula terdiri daripada Melayu seramai 62 peratus, Cina 20 peratus, India 12 peratus, Bumiputera Sabah, Sarawak dan lain-lain pula empat peratus.

“Hakikatnya majoriti besar pimpinan PKR dipilih menerusi sistem satu anggota satu undi, dan anggota PKR jelas meletakkan kebolehan, keupayaan serta komitmen kepada perjuangan mengatasi sebarang perkiraan perkauman,” katanya.

Justeru kata beliau, amat sesuai sekali pemimpin seperti Gobalakirshnan yang masih lagi terperangkap dengan mentaliti lapuk untuk keluar parti.

“Rakyat akan menilainya dalam pilihan raya umum akan datang dan PKR sebagai parti politik pelbagai kaum yang progresif akan terus bergerak ke hadapan,” katanya lagi.

Tiada ulasan: