Isnin, 7 Februari 2011

PKR bentuk majlis presiden urus krisis perhubungan Sabah

TERKINI

Pajudin (kiri) bersalam dengan Datuk Seri Musa Aman selepas mengisytiharkan dirinya keluar daripada PKR semalam. — Foto Bernama

KUALA LUMPUR — PKR membentuk sebuah majlis presiden untuk menguruskan badan perhubungan negeri Sabah ekoran keputusan ketuanya yang baru, Pajudin Nordin keluar parti dan menyertai Umno semalam.

Langkah itu diumumkan oleh Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua cabang Sabah di Kota Kinabalu petang ini.

Pagi tadi di Kuching, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Pajudin kemungkinan memutuskan untuk keluar PKR dan menyertai Umno semalam kerana menganggap keputusan menggantikan beliau buat sementara sebagai satu tamparan ke atas kepimpinannya.

Ketua Umum Pakatan Rakyat itu mengakui memang ada keputusan untuk melantik Dr Wan Azizah menerajui badan perhubungan negeri Sabah buat sementara sehingga krisis semasa reda.

PKR Sabah berhadapan dengan krisis kepimpinan selepas Pajudin dilantik sebagai ketua negeri itu pada 10 Januari lalu. Pelantikannya dibantah 18 daripada 25 cabang PKR Sabah.

Pajudin, 42, berkata keputusan itu dibuat kerana kecewa dengan kepimpinan pusat iaitu Anwar dan Dr Wan Azizah yang tidak serius dalam menangani masalah-masalah dan isu Sabah.

“Saya kesal kerana Datuk Seri Anwar selama ini mengatakan bahawa beliau menghormati hak-hak negeri Sabah, tetapi tingkah lakunya jelas menunjukkan bahawa beliau mengamalkan ‘cakap tidak serupa bikin’.

“Maka saya menganggap PKR di Sabah ini sudah tidak relevan untuk kita jadikan sebagai satu parti masa hadapan atau parti yang dikatakan akan menuju ke Putrajaya... maka saya mengisytiharkan diri keluar dari PKR dan melepaskan semua jawatan saya di dalam parti,” kata Pajudin.

Sementara itu, dalam kenyataan dikeluarkan lewat petang ini Dr Wan Azizah berkata, kepimpinan ketua-ketua cabang PKR Sabah telah mencapai konsensus dengan Majlis Pimpinan Pusat untuk menubuhkan majlis presiden yang dianggotai 11 ahli untuk memimpin parti peringkat negeri itu buat sementara waktu bermula hari ini.

“Pendekatan baru ini diambil untuk memastikan sumber dan gerak kerja PKR Sabah ditumpukan kepada usaha mewujudkan satu agenda rakyat yang lebih adil kepada rakyat Sabah, memandangkan pilihan raya umum ke-13 dijangka akan dipanggil dalam masa beberapa bulan lagi,” katanya.

Menurut beliau, majlis itu diamanahkan untuk menghasilkan dokumen manifesto pilihan raya yang menggarab dan melambangkan komitmen PKR Sabah untuk mengembalikan maruah, keadilan dan pembelaan kepada rakyat negeri.

“Dokumen akhir itu akan menyenaraikan dasar dan janji PKR Sabah dalam isu-isu penting yang dekat dengan rakyat Sabah mencakupi keseluruhan aspek politik, ekonomi dan sosial,” katanya.

Selain itu kata beliau, majlis presiden juga dipertanggungjawabkan untuk menjelajah ke seluruh Sabah bulan ini dan depan untuk mendapatkan maklum balas rakyat untuk digarab dalam dokumen tersebut, yang akan dibentangkan pada Konvensyen PKR negeri akhir Mac.

“Tugas dan tanggungjawab ahli majlis presiden didasarkan kepada isu-isu besar dan fungsi kerajaan Sabah, bertujuan untuk memberikan fokus dan latihan kepada pimpinan negeri memantau prestasi pentadbiran kerajaan sedia ada dan membina kemahiran pentadbiran yang diperlukan untuk melaksanakan dasar-dasar yang dicadangkan.

“Usaha mewujudkan pemantauan yang tersusun seperti ini diharap akan membawa era baru arus politik yang lebih sihat dan menguntungkan rakyat,” katanya.

Pembentukan majlis presiden itu berdasarkan isu iaitu kewangan, keselamatan dan imigrasi, pembangunan luar bandar, pembangunan infrastruktur, kerajaan tempatan dan perumahan, pembangunan perindustrian dan perhutanan, pembangunan dan pengurusan tanah, kesihatan, pembangunan masyarakat dan hal ehwal pengguna, belia dan sukan, pelancongan, kebudayaan dan alam sekitar, pendidikan, pembangunan sumber manusia dan kemajuan reknologi maklumat, dan pertanian dan industri makanan.

Mengenai anggota dan portfolio yang dipegang, jelas Dr Wan Azizah, ia akan diumumkan dalam masa yang terdekat.

Dr Wan Azizah juga berkata fokus beliau dalam tempoh interim ini adalah untuk mewujudkan struktur organisasi yang berkesan untuk mencapai potensi PKR Sabah sebagai pembela rakyat negeri itu.

27 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

sudah ramai pemimpin PKR Sabah yang keluar parti kerana masalah yang dihadapi oleh PKR.

Tanpa Nama berkata...

tunggu dan lihat sama ada mereka majlis presiden ini mampu untuk menyelesaikan krisis parti PKR di Sabah.

tombolo berkata...

PKR Sabah dilihat makin kronik, pembentukan Majlis preseiden ini untuk selesaikan masalah PKR Sabah. semoga berjaya.

Tanpa Nama berkata...

masalah PKR makin kronil hingga majlis presiden terpaksa ditubuhkan.

elia berkata...

Mampukah lagi PKR bertahan di Sabah? Sedangkan sudah ramai rakyat sabah yang keluar dari parti itu.

elia berkata...

Bersedia lah PKR, rakyat sabah sudah hilang kepercayaan terhadap parti anda!

Bhatera berkata...

Mungkin sudah terlewat dengan membentuk majlis presiden. Ahli sudah lari sana sini baru mahu membentuk.

Hosie Masie berkata...

Apa pun jika itu boleh memperbaiki masalah PKR teruskan usaha. Kita tengok saja apa yang akan dapat PKR lakukan untuk Sabah. Ramai sudah ketua PKR yang berpengaruh keluar parti.

Hosie Masie berkata...

PKR Sabah semakin bermasalah dan tidak mustahil selepas ini akan jatuh di Sabah. PKR tidak sesuai untuk Sabah. Penduduk Sabah tahu janji yang diberikan itu hanyalah janji kosong hanya untuk mengaut kemenangan. Tambahan lagi, biarlah rakyat menerima sedikit-sedikit pembangunan yang penting ada. Daripada Parti yang kita tidak tahu kebolehan mereka.

mike berkata...

nampaknya PKR makin terdesak..krisis kepimpinan PKR sabah mungkin memakan masa untuk diselesaikan dan pada mas itu mungkin sudah terlambat.

mike berkata...

mungkin PKR sudah tidak relevan lagi di sabah..mungkin sudah tiba masanya PKR berundur dari sabah dan fokus perjuangan mereka di semenanjung kerana peluang mereka di sana lebih besar.

mike berkata...

keadaan ini mungkin tidak akan berlaku jika pucuk pimpinan PKR serius mengendalikan hal2 berkaitan PKR sabah dan bukannya bersikap 'hangat2 tahi ayam'.

mike berkata...

mungkin selepas ini akan lebih ramai ahli PKR yang akan betindak keluar parti..

mike berkata...

mungkin PKR sabah tidak akan mampu bertahan lama..kita tunggu dan lihat.

Tanpa Nama berkata...

PKR sebagai pembela rakyat Sabah? sedangkan parti sendiri tidak mampu dibela, inikan pula rakyat Sabah.. masalah yang berlaku dalam PKR bukan disebabkan oleh pemimpin2 PKR yang telah keluar parti, tetapi disebabkan oleh pemimpin atasan mereka sendiri.

Mohd Ishak berkata...

Kita tengoklah bagaimana majlis presiden ini mengurus krisis Sabah.

Tanpa Nama berkata...

ketika parti lain sibuk membuat persiapan bagi menghadapi PRU13, PKR pula tidak habis2 dengan masalah dalaman. sememangnya situasi ini amat kritikal bagi sebuah parti yang bercita2 mahu merampas kerajaan dan berangan2 untuk memegang jawatan kabinet.

onong berkata...

Saya tidak pasti akan rancangan ini akan berjaya.

Nemia berkata...

I don't think this will work it out.

Velove berkata...

Jika benar PKR ingin meleraikan kes sebegini, seharusnya ada mekanisme yang baik.

Ezef berkata...

The Presidential Council is nothing but a waste of time.

wake berkata...

No way, this is just another hoax.

Paquin berkata...

Tak puas dengan mengatakan BN masuk jerat PKR sekarang bentuk majlis urus krisis p'hubungan Sabah pula... hhmmm, bersungguh-sungguh juga PKR ni m'pertahankan parti mereka.

Paquin berkata...

Tapi terlalu ramai ahli PKR yang dah keluar. Entah sampai bila PKR mampu bertahan.

Paquin berkata...

Tapi kalau sampai majlis urus krisis ditubuhkan, rasanya ni petanda masalah dalaman PKR agak teruk. Tidak hairan jugalah ahlinya keluar.

Paquin berkata...

Semakin banyak PKR membuat kenyataan utk mempertahankan parti mereka, maka makin banyak jugalah kelemahan yang timbul. Jadi ada baikknya juga PKR berehat:P

Paquin berkata...

Apapun, pandai2lah rakyat membuat penilaian. Saya yakin rakyat tahu apa yang terbaik utk mereka.