Isnin, 14 Februari 2011

Pakar Thai Pornthip bukan saksi suruhanjaya siasatan Teoh

THE MALAYSIAN INSIDER



Dr Pornthip

KUALA LUMPUR — Pakar patologi forensik Dr Pornthip Rojanasunand bukan merupakan salah seorang saksi yang akan dipangggil oleh suruhanjaya siasatan, yang hari ini mula mendengar prosiding kematian Teoh Beng Hock.

Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo yang mewakili keluarga Teoh berkata, Dr Pornthip tidak dinamakan sebagai saksi meskipun penemuan beliau akhir 2009 menunjukkan adanya tanda-tanda kecederaan prakematian bekas pembantu Exco Kerajaan Negeri Selangor itu.

“Sekiranya kita adakan siasatan bebas... nama pertama (pada senarai) seharusnya (mendapat perhatian ialah) Dr Pornthip,” kata Gobind hari ini.

Sebelum ini Dr Pornthip menyuarakan pendapat terdapat 80 peratus kemungkinan bahawa Teoh mati akibat dicekik dan didera. Ia membawa kepada bedah siasat kali kedua oleh Ketua Unit Patologi Hospital Sungai Buloh, Dr Shahidan Md Nor pada 22 November lalu.

Teoh ditemui mati pada 16 Julai 2009 di tingkat lima, Plaza Masalam selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan sama.

Pornthip, sebelum ini menimbulkan kontroversi dengan mendakwa hasil pemerhatiannya mendapati kemungkinan 80 peratus kematian Teoh adalah kerana dibunuh manakala 20 peratus lagi akibat bunuh diri.

Suruhanjaya itu juga menerima pegawai-pegawai pengendali dari Jabatan Peguam Negara meskipun dibantah peguam-peguam Teoh mengenai kemungkinan elemen bias.

Gobind berkata pegawai-pegawai pengendali, yang dipertanggungjawabkan untuk mengemukakan bukti ketika inkuiri, mempunyai konflik kepentingan memandangkan Jabatan Peguam Negara didakwa memohon penemuan menyentuh soal bunuh diri dalam permohonan semakan mereka terhadap keputusan terbuka dalam inkues Teoh awal bulan lalu.

“Sehingga dan apabila kita ada sebab untuk meragui sikap berkecuali mereka, kami akan terima bantuan mereka,” kata pengerusi suruhanjaya Tan Sri James Foong pada permulaan inkuiri.

“Kami rasa selesa kerana kesemua pihak yang mewakili, bukan sahaja akan menyediakan elemen semak dan seimbang, tetapi juga akan membantu membawa maklumat dan bukti yang relevan dalam mencapai terma rujukan,” kata beliau.

Tiada ulasan: