Sabtu, 19 Februari 2011

Kes Teoh: Tiada pergelutan, suruhanjaya diberitahu

TERKINI


Cif Inspektor Mazli Jusoh berkata pemeriksaan mata kasar menunjukkan tiada sebarang kesan pergelutan pada tingkap tingkat tersebut.

KUALA LUMPUR— Tiada kesan pergelutan ditemui pada bahagian tingkap tingkat 14 Plaza Masalam Shah Alam — premis di mana Teoh Beng Hock ditemui mati, kata pakar forensik polis kepada suruhanjaya siasatan hari ini.

Cif Inspektor Mazli Jusoh berkata pemeriksaan mata kasar menunjukkan tiada sebarang kesan pergelutan pada tingkap tingkat itu yang menempatkan pejabat SPRM ketika itu.

“Pada pandangan saya, tiada pergelutan berlaku,” kata Mazli pada hari kelima prosiding suruhanjaya siasatan hari ini.

“Berdasarkan pengalaman dalam siasatan di lokasi jenayah, jika ada pergelutan di salah satu bahagian lokasi jenayah, sudah pasti keadaan (akan kelihatan) berselerak.

“Jika lokasi kejadian mempunyai permukaan yang telus, anda boleh lihat tanda-tanda keadaan berselerak di dalam bilik,” katanya lagi.

Mazli yang bertugas di kontinjen polis Selangor ketika hari kematian Teoh pada 16 Julai 2009 juga berkata, beliau menemui enam cap jari pada bingkai tingkap yang boleh dimudah alih itu.

Bagaimanapun Mazli berkata, beliau gagal mendapatkan kesan jari itu kerana tingkap itu berdebu.

“Ia akan menjejaskan kesan cap jari jika permukaan debu dibersihkan,” kata beliau.

“Hanya ada tiga hingga empat (sifat) pada cap jari. Untuk mengenal pasti, kita perlukan sekurang-kurangnya lapan sifat pada cap jari,” katanya lagi.

Mazli berkata ketika pemeriksaan sedang dijalankan cap jari terbabit masih baru memandangkan tiada lapisan debu meliputi cap-cap jaring terbabit.

Inkuiri di depan pengerusi suruhanjaya Tan Sri James Foong ini akan disambung Isnin ini.

Teoh, 30, setiausaha politik anggota Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Inkuiri diteruskan meskipun keluarga Teoh dan kerajaan negeri Selangor menarik diri daripada prosiding suruhanjaya.

Semalam, suruhanjaya memutuskan untuk memanggil semua saksi yang pernah memberi keterangan dalam inkues Teoh sebelum ini.

Mengikut rekod, sepanjang inkues lepas seramai 37 saksi telah dipanggil.

Selain itu Foong berkata terma-terma rujukan di dalam suruhanjaya lebih luas berbanding inkues sebelum ini dan ini membolehkan soalan yang tidak boleh diajukan pada prosiding inkues dikemukakan pada saksi dalam suruhanjaya.

Katanya, bagi saksi yang tidak dapat hadir pihak suruhanjaya akan menerima pakai kenyataan mereka dalam nota prosiding inkues.

Anggota lain suruhanjaya itu ialah bekas hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman dan bekas hakim Mahkamah Rayuan Datuk T. Selventhiranathan manakala pakar forensik terdiri daripada Pakar Perunding Patologi Forensik, Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik dan Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Tiada ulasan: