Khamis, 17 Februari 2011

Kes Aminulrasyid: Nasib Koperal Jenain diputus 28 Feb

TERKINI
BERNAMA

SHAH ALAM — Mahkamah Sesyen di sini hari ini menangguhkan sehingga 28 Februari ini untuk memutuskan sama ada anggota polis, Koperal Jenain Subi dibebaskan atau dipanggil membela diri atas tuduhan menyebabkan kematian Aminulrasyid Amzah, 15, pada April lalu.

Hakim Latifah Mohd Tahar menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak.

Mahkamah sebelum ini menetapkan hari ini untuk membuat keputusan di akhir kes pendakwaan.

Seramai 39 saksi pendakwaan memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang bermula pada 12 Oktober tahun lepas.

Jenain, 48, didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid antara 1.10 pagi dan 2 pagi 26 April tahun lepas di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11, di sini.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaaan yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun, dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Aminulrasyid disahkan meninggal dunia akibat luka tembakan di kepalanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Idham Abd Ghani, Mohd Dusuki Mokhtar dan Adilla Ahmad sementara Jenain diwakili peguam M. Athimulan dan Salim Bashir.

Terdahulu, mahkamah dipenuhi anggota keluarga Aminulrasyid termasuk ibu, abang, adik perempuan dan dua kakak mangsa yang hadir untuk mengetahui keputusan kes itu.

Kira-kira 10 rakan mangsa termasuk Muhammad Azamuddin Omar yang turut berada dalam kereta dipandu Aminulrasyid semasa kejadian juga hadir ke mahkamah tetapi mereka tidak dibenarkan masuk berikutan galeri awam telah penuh.

Jenain yang hadir memakai kemeja lengan pendek dan berkopiah putih turut ditemani anggota keluarganya.

Tiada ulasan: