Khamis, 17 Februari 2011

Oleh Boo Su-Lyn

KUALA LUMPUR – Kerajaan negeri Selangor turut menarik diri daripada menyertai prosiding suruhanjaya yang diadakan untuk menyiasat kematian Teoh Beng Hock, sehari selepas keluarga mendiang berbuat demikian.

Suruhanjaya itu hari ini turut memutuskan untuk memanggil pakar patologi forensik Dr Pornthip Rojanasunand dan Dr Peter Vanezis sebagai saksi.

Pengerusi suruhanjaya Tan Sri James Foong berkata, perkara itu diputuskan selepas panel itu meninjau lokasi kejadian di Plaza Masalam, Shah Alam pagi tadi.

Bagaimanapun peguam yang mewakili Selangor, Malik Imtiaz Sarwar berkata, kerajaan negeri itu memutuskan untuk menarik diri ekoran pendirian tidak konsisten Peguam Negara yang menyediakan kakitangannya sebagai pegawai pengendali sedangkan pada masa yang sama membuat permohonan semakan terhadap keputusan terbuka inkues awal bulan lalu.

Semalam, keluarga Teoh yang gagal mendapat kebenaran suruhanjaya siasatan untuk menangguhkan prosiding bertindak menarik diri daripada terlibat dalam siasatan itu.

Peguam Karpal Singh dan Gobind Singh Deo yang mewakili keluarga setiausaha politik itu turut gagal dalam permohonan mereka supaya Foong berundur sebagai pengerusi suruhanjaya.

Kenyataan menarik diri (daripada suruhanjaya) itu dibuat oleh Karpal sejurus selepas Foong menyatakan pendirian anggota untuk meneruskan prosiding tanpa menunggu keputusan Mahkamah Tinggi berhubung permohonan semakan kehakiman pihak keluarga Teoh mengenai keputusan suruhanjaya yang membenarkan tiga pegawai dari Pejabat Peguam Negara bertindak sebagai pegawai pengendali.

Foong berkata tiada sebarang alasan untuk pihak suruhanjaya meneliti semula keputusan mereka yang membenarkan Peguam Kanan Persekutuan Amerjeet Singh, timbalan-timbalan pendakwa raya Kwan Li Sa dan Awang Armadajaya Awang Mahmud sebagai pegawai pengendali pada Isnin lalu dan bersedia memulakan prosiding.

Mengenai isu pelantikannya sebagai pengerusi suruhanjaya, Foong berkata kesemua anggota berpendapat beliau tidak perlu berundur dan tiada asas yang menyokong permohonan itu.

Teoh, 30, setiausaha politik anggota exco Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Malah semalam, suruhanjaya memutuskan untuk memanggil semua saksi yang pernah memberi keterangan dalam inkues setiausaha politik kepada exco Selangor itu.

Mengikut rekod, sepanjang inkues lepas seramai 37 saksi dipanggil termasuk Dr Pornthip.

Selain itu Foong berkata terma-terma rujukan di dalam suruhanjaya lebih luas berbanding inkues sebelum ini dan ini membolehkan soalan yang tidak boleh diajukan pada prosiding inkues dikemukakan pada saksi dalam suruhanjaya.

Katanya, bagi saksi yang tidak dapat hadir pihak suruhanjaya akan menerima pakai kenyataan mereka dalam nota prosiding inkues.

Anggota lain Suruhanjaya itu ialah bekas hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman dan bekas hakim Mahkamah Rayuan Datuk T. Selventhiranathan manakala pakar forensik terdiri daripada Pakar Perunding Patologi Forensik, Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik dan Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Tiada ulasan: