Isnin, 21 Februari 2011

Jakim pantau syarikat tiada permit tawar khidmat haji

BERNAMA

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang memantau pergerakan operasi sebuah syarikat yang dikatakan menawarkan perkhidmatan pakej haji tanpa melalui Tabung Haji.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata siasatan awal mendapati syarikat yang tidak mempunyai permit itu dipercayai telah mengumpul kira-kira 135,000 jemaah dari seluruh negara termasuk Asia Tenggara yang mendaftar secara online.

“Dalam pemeriksaan yang dijalankan mendapati lokasi syarikat terbabit masih samar-samar dan nombor telefon yang diletakkan di laman web mereka juga tidak dapat dihubungi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat Wilayah Persekutuan di Kompleks Pusat Islam di sini, hari ini.

Jamil Khir berkata demikian bagi mengulas laporan Bernama semalam yang melaporkan syarikat berkenaan yang difahamkan berpangkalan di China dan tidak berdaftar di bawah Tabung Haji itu menawarkan perkhidmatan haji dan umrah dengan cepat dan bayaran yang dikenakan RM15,000 bagi seorang jemaah haji.

Mereka yang berminat dikatakan boleh membuat tempahan melalui laman web yang disediakan dengan mudah dan pantas.

“Sehingga kini tiada pengesahan dan sebarang bukti yang menunjukkan syarikat terbabit memohon kebenaran dan kuota sebelum menjual perkhidmatan tersebut kepada orang ramai.

“Kita masih belum dapat kesan lagi siapa dalang di sebalik operasi ini dan saya telah mengarahkan Jakim serta Tabung Haji terus memantau kes ini,” katanya dengan menambah setakat ini, pihak Jakim dan Tabung Haji hanya mengesan sebuah syarikat sahaja yang terlibat dalam penipuan penawaran pakej haji itu.

Jamil Khir menegaskan pihaknya akan menyiasat perkara itu mengikut mekanisme tersendiri memandangkan hanya Tabung Haji yang diberi kuota oleh kerajaan Arab Saudi mengendalikan perkhidmatan haji, bukan terus kepada syarikat-syarikat yang beroperasi di negara ini.

Beliau yang kecewa dengan perkembangan itu berkata, kewujudan syarikat yang menjalankan penipuan itu hanya mengundang masalah kepada bakal jemaah pada saat-saat akhir untuk menunaikan haji.

Dalam pada itu, Jamil Khir meminta orang ramai yang mengetahui ataupun telah mendaftar dengan syarikat itu agar tampil bertukar maklumat untuk memudahkan siasatan dijalankan.

Dalam perkembangan lain mengenai pelajar-pelajar Malaysia yang dibawa pulang dari Mesir menerusi Ops Piramid, beliau berkata pihaknya akan membantu dari soal kebajikan termasuk pelajar miskin yang tidak mempunyai kewangan untuk kembali meneruskan pengajian di sana.

“Kementerian Luar dan Kementerian Pengajian Tinggi akan memantau perkembangan pelajar terbabit dan kementerian saya bagi soal kebajikan,” katanya merujuk kira-kira 11,000 rakyat Malaysia termasuk pelajar yang dibawa pulang ekoran krisis politik di Mesir yang berlanjutan selama 18 hari.

Terdahulu, beliau turut menyampaikan Anugerah Maulidur Rasul kepada 30 pelajar cemerlang dalam Peperiksaan Ujian Penilaian Kelas Agama dan Fardu Ain, Ujian Pencapaian Sekolah Rendah Agama dan Sijil Menengah Agama tahun lepas.

Mengenai sambutan itu, katanya agensi dan jabatan di bawah kementeriannya seperti TV Al-Hijrah, Institut Kefahaman Islam Malaysia dan Jakim akan menganjurkan pelbagai program menarik sepanjang bulan ini bagi menggalakkan masyarakat menghayati perjuangan Rasulullah s.a.w. dan perjuangan Baginda dalam menegakkan syiar Islam.

Tiada ulasan: