Khamis, 10 Februari 2011

20 keluarga rayu pembangunan

Sudah 25 tahun menunggu bekalan air, elektrik dan jalan masuk kampung


Oleh A Sam Lini

MERLIMAU – Siapa sangka di celah kemajuan negeri Melaka dan kesibukan Pekan Merlimau, ada lagi mereka tertinggal dari menyedut nafas kemodenan gara-gara tinggal di kawasan pendalaman.

A Ragunathan, 40, nyata seorang warganegara yang tabah walau terpaksa menanti pembangunan biarpun 20 lagi pemilik lot di Kampung Paya Yoki Batu 15 ini belum berpindah lagi gara-gara tiada pembangunan di situ.

Penternak lembu ini mewakili 20 penduduk lain ketika ditemui berkata, terdapat kira-kira 20 lot tanah yang diwarisi keturunan masing -masing sejak 25 tahun lalu, namun kini hanya dia sekeluarga yang berpindah ke situ kerana menguruskan perniagaan perternakan peninggalan mendiang bapanya.

Bayangkan, pintu masuk ke kawasan rumahnya hanya boleh dilalui seawal 7 pagi dan ditutup 7 petang apabila pemilik ladang Sime Darby mengambil sebidang tanah berhampiran untuk dijadikan ladang sejak berbelas tahun yang lalu.

Keluarga yang mengandungi sebelas ahli ini juga terpaksa berdepan kesusahan apabila terdapat perayaan tiap kali saudara mara datang yang terpaksa mengikut waktu buka dan tutup pagar ladang Sime Darby.

“Saya juga berdepan masalah untuk menghadiri upacara sembahyang apabila balik lewat maka saya terpaksa berjalan sejauh satu kilometer untuk sampai ke rumah.

“Telah dua pilihanraya umum dijalankan, dan setiap kali itu juga, kami penduduk termasuk saya akan meminta kemudahan seperti air dan elektrik serta jalan masuk kampung, namun semuanya hanya tinggal impian,” katanya.

Gali air perigi

Ragunathan berkata, selama itu juga dia sekeluarga terpaksa menggali air perigi dan membina terusan untuk minum dan makan serta keperluan harian.

Manakala elektrik pula dibekalkan satu tiang yang dimohonnya dari Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk kegunaan rumah dan ladang ternakannya yang menelan kos RM26,000 kerana bekalan hanya dapat disalurkan dari tiang di Lebuh AMJ, Merlimau sejauh 2 kilometer untuk ke kawasan rumahnya.

Namun begitu, sempena PRK Merlimau, Ragunathan dan 20 pemilik lot tanah lain berharap nasibnya berubah apabila dia sekali lagi memohon kepada kerajaan negeri untuk membantunya.

Pembantu khas Ketua Menteri Melaka Datuk M. S. Mahadevan datang melawat bersama wakil TNB dan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) untuk mencari jalan membantu pemilik lot di sini menyelesaikan masalah mereka sebelum pilihan raya kecil 6 Mac depan.

“Kita akan dapatkan dokumen semua pemilik lot yang pernah tinggal di sini dan persetujuan mereka untuk menyediakan bekalan air serta elektrik seperti kemudahan di tempat lain. Kerajaan Negeri akan mengambil langkah-langkah sepatutnya untuk memastikan tiada seorang pun rakyat negeri ini tersisih dari kemajuan negeri Melaka yang telah bergelar negeri maju,” katanya.

Tiada ulasan: