Selasa, 7 September 2010

Wisma Putra patut sampai mesej lebih tegas kepada Indonesia

BERNAMA

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda Umno hari ini meminta Kementerian Luar menyampaikan mesej yang lebih tegas kepada Indonesia agar segala demonstrasi dan tindakan menghina Malaysia dapat dihentikan.

Ketuanya Khairy Jamaluddin berkata rakyat Malaysia sudah tidak boleh bertolak ansur dengan demonstrasi oleh beberapa kumpulan aktivis Indonesia di hadapan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta kerana ia membabitkan maruah rakyat Malaysia.

“Saya sambut baik perjumpaan antara Menteri Luar Malaysia dan Indonesia tetapi bagi saya soal persetujuan antara kedua menteri tidak ada makna sekiranya mereka masih lagi menyerang kedutaan kita di sana.

“Saya khuatir perasaan sebenar rakyat Malaysia yang sabar selama ini gagal disampaikan oleh Kementerian Luar kepada Indonesia kerana kita sudah tidak boleh bertolak-ansur lagi,” katanya kepada pemberita pada pelancaran Kempen Kepenggunaan Muda di sini, hari ini.

Beliau mengulas hasil perjumpaan antara Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman bersama rakan sejawatannya dari Indonesia Dr Marty Natalegawa di Kota Kinabalu semalam.

Dalam perjumpaan itu, kedua-dua negara bersetuju untuk mengusahakan satu Prosedur Standard Operasi (SOP) dan peraturan penglibatan (ROE) sebagai garis panduan apabila mengendalikan petugas masing-masing di kawasan persempadanan perairan, agar insiden 13 Ogos lalu tidak berulang.

Malaysia dan Indonesia juga bersetuju untuk melibatkan Badan Koordinasi Keamanan Laut (Bakormla) dari pihak Indonesia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam struktur jawatankuasa Sempadan Am yang sedia ada bagi tujuan ini.

Khairy berkata Kementerian Luar sepatutnya menyampaikan mesej lebih tegas mengenai perasaan rakyat Malaysia serta bagaimana cara untuk menghentikan demonstrasi itu dan bukannya berkisar pada persetujuan untuk menghadapi masalah akan datang semasa perjumpaan antara kedua negara semalam.

Katanya beliau memahami bahawa sistem negara itu dengan Malaysia adalah berbeza tetapi mesej tegas perlu disampaikan agar demonstrasi yang berlaku dapat dihentikan bukan sahaja ketika ini malah ia tidak akan berulang pada masa depan.

Mengenai Kempen Pengguna Muda, Khairy berkata ia bertujuan member pendidikan kepada masyarakat khususnya orang muda mengenai hak mereka sebagai pengguna agar tidak mudah terpedaya dengan helah peniaga.

Kempen hasil kerjasama antara Pemuda dan Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) akan digerakkan hujung tahun ini di mana semua anggota Pemuda boleh digerakkan sebagai jentera dalam mengedarkan maklumat serta risalah mengenai hak pengguna kepada masyarakat.

12 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Malaysia perlu melakukan sesuatu dan mencari penyelesaian terbaik kerana kegagalan kerajaan Indonesia menghulurkan kerjasama dalam isu ini boleh membahayakan warga Malaysia yang berada di Indonesia..

joey berkata...

harap perjumpaan antara Menteri Luar Malaysia dan Indonesia dapat memberikan perkembangan yang baik bagi menyelesaikan pekara ini.

Sanih Alias berkata...

Kita semua mahu penunjuk perasaan yang berlaku di Indonesia akan diberhentikan. kerana ini akan mengundang kepada keselamatan rakyat dan juga kedamaian kedua-dua negara ini.

Tanpa Nama berkata...

Kementerian Luar akan membantu menangani masalah yang dihadapi disebabkan apa yang berlaku 13ogos lalu. Harap penyelesaian akan dapat ditangani oleh kedua-dua pihak bagi keamanan dan ketenteraman negara.

Leo berkata...

Diharapkan masalah ini akan selesai kerana ia semakin serius dan boleh menjejaskan hubungan Indonesia dan Malaysia.

Tanpa Nama berkata...

harap penunjuk perasaan indonesia dpt menghentikan tindakan mereka, jgnlah nak menjejaskan hubungan baik antara kedua negara ini.

Logop berkata...

kumpulan aktivis Indonesia semakin melampau. Mereka harus berhenti membuat demostrasi. Moga2x Indonesia akan bekerjasama dengan Malaysia untuk menyelesaikan masalah tersebut sebelum ia menjadi lebih teruk.

Anak Sabah berkata...

Saya hanya berharap perkara ini boleh diselesaikan secara aman. Janganlah sampai hubungan antara negara terjejas.

madd berkata...

semua mahukan agar tunjuk perasaan yang dilakukan oleh segelintir rakyat Indonesia dapat dihentikan. kerjasama antara Malaysia dan Indonesia juga patut ditingkatkan.

Antanum berkata...

Saya memuji usaha yang telah dilakukan oleh menteri luar kita, dan menampakkan betapa seriusnya kes ini bagi rakyat Malaysia. Kita tidak boleh hilang sabar apatah lagi masih lagi dibulan ramadan. Tindakan seterusnya adalah dari pihak kerjaan Indonesia. Malaysia sudah menjalankan tanggungjawab dengan membawa kes ini di meja perbincangan dan Kerajaan indonesia perlu memikirkan betapa Malaysia prihatin terhadap hubungan antara dua negara ini. Tidak ada yang harus dilakukan lagi, selain menunggu kerajaan Indonesia bertindak dan menunaikan janji2 yang telah dikatakan semasa perbincangan antra dua pihak itu diadakan dua hari yang lalu.

Paquin berkata...

Bagi saya kerajaan Indonesia yang patut pastikan hal ni dihentikan sekiranya mereka menghormati hubungan baik antara kedua-dua negara. Perusuh tu kan rakyat Indonesia so sudah semestinya Kerajaan Indonesia mengambil tindakan tegas agar perkara tu dapat ditanggani.

Paquin berkata...

Setuju Antanum.. Kita tak boleh hilang sabar. Masih banyak cara untuk selesaikan hal ni. Lain cerita la kalau kerajaan Indonesia tak bagi kerjasama kan...