Selasa, 14 September 2010

Wanita India bongkar ladang maut

USHARANI bersama Muthuraja dan anak mereka yang berusia tiga tahun.

BERITA HARIAN ONLINE

Isteri jejak suami hilang selepas jumpa peguam 18 Januari lalu

KUALA LUMPUR: Isteri ahli perniagaan dari Chennai, India, S Usharani, 24, bimbang suaminya yang hilang sejak 18 Januari lalu turut menerima nasib sama seperti jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya.

Suri rumah itu yang menetap di Ramapuram, Chennai ketika dihubungi Berita Harian, semalam, mendakwa suaminya, Allal Kathan Muthuraja, 34, tiba di Malaysia pada 18 Januari lalu untuk bertemu rakan karibnya iaitu dua beradik yang juga peguam yang disyaki terbabit dalam kes pembunuhan Sosilawati.

“Sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), suami menelefon dan memberitahu beliau dijemput dua beradik itu. Mereka saling mengenali sejak 10 tahun.

“Dalam perbualan itu, selain bertanyakan khabar anak perempuan kami berusia tiga tahun, beliau juga memberitahu dua peguam terbabit akan membawanya ke ladang milik mereka di Banting.

“Keesokan harinya (19 Januari), saya cuba menghubungi telefon bimbit suami beberapa kali tetapi gagal.

“Saya bimbang keselamatan suami lalu menghubungi Pejabat Pesuruhjaya Tinggi India di Malaysia, namun tiada maklum balas sehingga sekarang,” katanya.

Muthuraja antara empat individu yang hilang sejak setahun lalu selepas berurus niaga dengan peguam bergelar Datuk di Banting.

Usharani berkata, pada 12 Februari lalu, beliau menerima panggilan misteri seorang lelaki yang mendakwa dirinya polis dan memaklumkan suaminya ditahan polis kerana kesalahan memiliki dadah.

“Dia meminta RM1 juta untuk membantu menyelesaikan kes itu, bagaimanapun saya tidak mempedulikannya. Pada 20 Februari, saya menerima satu lagi panggilan daripada seorang yang turut memperkenalkan dirinya sebagai polis dan meminta RM1 juta untuk tujuan sama. Dia meminta RM500,000 sebagai pendahuluan.

“Saya keliru dengan kedua-dua panggilan itu dan sekali lagi hubungi pejabat pesuruhjaya di Kuala Lumpur untuk mendapat kepastian sama ada suami ditahan polis seperti didakwa, namun tiada jawapan,” katanya.

Selepas lapan bulan tidak mendapat berita mengenai suaminya, Usharani datang ke Malaysia.

“Saya tiba di KLIA pada 8 September lalu dan membuat laporan di Balai Polis Banting. Saya turut memaklumkan suami menyebut beliau dibawa ke ladang milik seorang peguam di Banting,” katanya.

Difahamkan, berdasarkan maklumat Usharani itulah polis menyerbu Ladang Gadong sebelum menemui lokasi Sosilawati dan tiga rakannya dibunuh dan dibakar.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Nordin Manan mengesahkan laporan Usharani, tetapi enggan mengulas lanjut.

Sementara itu, sumber polis memberitahu nasib empat mangsa yang hilang belum dapat dipastikan, namun tidak menolak kemungkinan mereka menerima nasib seperti Sosilawati dan rakan.

“Pasukan forensik dan Jabatan Kimia masih meneruskan siasatan termasuk mencari spesimen dan bukti berkaitan empat mangsa itu.

“Suspek dipercayai menjadikan ladang mereka yang lengkap dengan chalet, blok pejabat dan rumah kelab sebagai lokasi bertemu dan memperdayakan mangsa mereka.

“Ia bukan sekadar ladang sawit dan kandang ternakan, tetapi lengkap dengan semua kemudahan. Lokasinya yang terpencil dan dikelilingi tembok setinggi dua meter menyukarkan kegiatan mereka dikesan,” katanya.

14 ulasan:

Anak Sabah berkata...

Takziah diucapkan kepada semua ahli keluarga mangsa. Diharapkan kebenaran akan dibongkar dan keadilan ditegakkan.

samm berkata...

semoga semua yang berlaku dapat diselesaikan. kejadian seperti ini amat mengejutkan..

Hamdan Hadillah berkata...

Tidak sangka penipuan sebegini boleh berlaku. Warga India sendiri boleh hilang dinegara kita oleh penjenayah yang sangat kejam ini. harap mereka menerima hukuman yang berat, aktiviti ini bukan baru berlaku tetapi telah lama. takziah kepada keluarga yang terlibat. harap diminta bersabar, tabahkah hati dan berdoa kepada tuhan.

Tanpa Nama berkata...

hal ini perlu disiasat. harap kebenaran akan diketahui juga suatu hari nnti.

Unknown berkata...

Takziah kepada keluarga mangsa.

Unknown berkata...

Sungguh mengejutkan untuk mengetahui jenayah seperti ini juga berlaku di M'sia.Diharapkan kes ini dapat diselesaikan.

Tanpa Nama berkata...

jika pihak polis dapat mencari punca kehilangan Allal Kathan Muthuraja lebih awal, mungkin kekejaman terhadap jutawan kosmetik ini dapat dielakkan, kerana pembunuh menggunakan lokasi yang sama. apa2 pun teruskan siasatan dan pastikan tidak ada pembunuh yang terlepas..

madd berkata...

harap polis dapat mengumpulkan semua bukti agar kes ini dapat diselesaikan dengan cepat. pesalah perlu dikenakan hukuman yang berat.

Unknown berkata...

Sangat menyayat hati..Inilah yang sanggup dilakukan oleh manusia yang tamak..

Unknown berkata...

sukar nak saya percaya bahawa ada juga kawasan sebegini yang digunakan untuk memperdayakan mangsa...kenapa selama ini ia tidak berjaya dikesan oleh pihak polis? sudah berapa lama kegiatan menakutkan di ladang sawit tersebut berlaku?

Unknown berkata...

takziah keluarga-keluarga mangsa terbabit..

Paquin berkata...

Takziah pada keluarga mangsa. Banyakkan bersabar, suatu hari nanti kebenaran pasti ditemukan.

Paquin berkata...

Semoga pihak berkusa dapat selesaikan kes pembunuhan ni. Pastikan si pesalah dapat balasan yang setimpal.

Antanum berkata...

Rupanya kejadian sama pernah berlaku kurang dari tempoh setahun. Ini la, kejadian berulang kerana tidak ada tindakan yang dilakukan pada kes yang pertama. Begitu kejam dan jahat, hanya kerana duit dan harta kekayaan. Pasti Akan mendapat hukuman yang setimpal dengan perbuatan mereka.