Ahad, 26 September 2010

Universiti, hospital RM2b di Selangor bakal dibina

Daripada Ahmad Zaini Kamaruzzaman di New York


MALAYSIA mencapai satu lagi kejayaan dalam bidang pendidikan dan penjagaan kesihatan. Kali ini hasil inisiatif swasta Malaysia-Amerika Syarikat (AS) oleh Johns Hopkins University, membabitkan pelaburan dianggarkan hampir RM2 bilion bagi mewujudkan sebuah universiti dan pusat penyelidikan bertaraf antarabangsa.

Selain di AS, Johns Hopkins, sebuah pusat pengajian dan institusi penyelidikan kesihatan terkenal di dunia mempunyai kampus di China, Itali dan Singapura.

Di Singapura, Johns Hopkins Singapore International Medical Centre ditubuh dengan kerjasama National Healthcare Group (NHG), iaitu usaha sama luar yang utama institusi itu di luar Baltimore, di Amerika Syarikat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, selepas pertemuan dengan Presiden Global Ventures Johns Hopkins Medical International, Mohan Chellappa, di sini semalam, berkata universiti dan hospital dengan 600 katil itu akan dibina di Serdang, Selangor.

Beliau berkata, universiti itu menggunakan pendekatan bidang perubatan lebih spesifik membabitkan 400 graduan lepasan ijazah dan perjanjian dengan sebuah syarikat Malaysia akan ditandatangani di Kuala Lumpur pada awal November ini.

Walaupun Najib tidak menyatakan syarikat berkenaan, New Straits Times (NST) sebelum ini melaporkan universiti swasta ditubuhkan bukan untuk keuntungan itu, sudah menjalin kerjasama dengan Sitt Tatt Bhd, syarikat disenarai di Bursa Malaysia, membabitkan pelaburan RM1.8 bilion.

“Johns Hopkins bercadang melabur di Malaysia dan kita setuju sebuah pusat pengajian dan penyelidikan perubatan ditubuhkan. Ia juga sebuah hospital swasta baru yang akan menempatkan 600 katil,” katanya yang berada di sini untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ke-65.

Sementara itu, Perdana Menteri juga berkata, dalam pertemuan dua hala dengan Benigno Aquino semalam, Presiden Filipina itu mahu proses rundingan mencari penyelesaian politik di Mindanao diteruskan dengan Malaysia sebagai fasilitator.

Dalam pertemuan kali pertama sejak Aquino dipilih sebagai ketua negara itu, Najib juga menyatakan keperluan serta kepentingan bagi Filipina menempatkan konsulat di Sandakan, Sabah bagi meningkatkan hubungan dan urusan kedua-dua negara.

Selain itu, beliau menjemput Presiden Benigno melawat Malaysia dan dipersetujui dengan masanya ditentukan kemudian.

Dalam pertemuan dengan Presiden Sri Lanka, Mahinda Rajapaksa, mereka membincangkan mengenai hubungan dua hala dalam bidang perdagangan termasuk pelaburan sebuah syarikat dalam bidang perhotelan di negara itu serta usaha membendung kegiatan pemerdagangan manusia.

Katanya, ketika ini syarikat Malaysia adalah pelabur terbesar di negara itu dengan kebanyakannya dalam bidang telekomunikasi dan Sri Lanka berharap lebih banyak datang melabur berikutan peningkatan keselamatan selepas tiada kejadian dilaporkan dalam tempoh 16 bulan lalu.

Tiada ulasan: