Isnin, 13 September 2010

UMNO perlu Perkasa untuk raih sokongan

SINAR HARIAN ONLINE

KUALA LUMPUR - Tun Dr Mahathir Mohamad, semalam berkata, UMNO tidak mampu berbalah dan memisahkan diri daripada Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) jika tidak mahu menanggung risiko kehilangan banyak sokongan.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, sebaliknya UMNO memerlukan seberapa banyak sokongan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) jika parti induk Barisan Nasional (BN) itu tidak mahu kehilangan sokongan akar umbi.

“Saya berpendapat bahawa UMNO khususnya tidak begitu kuat, kita tidak boleh tolak sebarang orang kerana kalau kita hilang 100, 200 orang pun, mungkin kita akan kalah.

“Jadi kita nak sokongan seberapa banyak, tak payahlah kita bermusuh dengan orang. Saya fikir, kita perlu dekatkan diri dengan seberapa kumpulan yang boleh,” katanya pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di kediamannya di Seri Kembangan, dekat sini, semalam.:

Pada Khamis lalu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, UMNO menjauhi daripada Perkasa yang lantang membuat kenyataan isu perkauman.

Dr Mahathir berkata, ahli UMNO ketika ini berpecah antara menyokong atau menjauhkan diri daripada Perkasa, sambil menjelaskan keadaan seperti itu boleh menyebabkan jurang yang lebih parah di kalangan mereka.

“Ia menyebabkan rasa serba salah di kalangan ahli UMNO sendiri. Ada yang akan kekal dan ada yang menjauhkan diri... ini akan lebih memisahkan mereka.

“Selain itu, pada pilihan raya umum lalu, margin adalah amat tipis sekali. Katakan jika kita kalah sedikit... kita mungkin kalah pada pilihan raya,” katanya.

Tiada ulasan: