Sabtu, 18 September 2010

Umno Desak Polis "Tutup Mulut" TV Selangor

TV SELANGOR

SHAH ALAM : Ketua Penerangan Umno Selangor, Abdul Shukor Idrus mendesak polis menyiasat portal berita TV Selangor kerana menyiarkan laporan yang mempersoalkan kewibawaan polis dalam menyiasat suspek utama pembunuhan Sosilawati.

Abdul Shukor mendakwa laporan TV Selangor memetik kenyataan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat, Shamsul Iskandar Mat Akin mengenai kegagalan polis mengambil tindakan terhadap suspek berkenaan sebelum pembunuhan Sosilawati dan tiga oang lain, menjejaskan imej pihak berkuasa itu.

Utusan Malaysia hari ini memetik Abdul Shukor sebagai mendakwa laporan TVSelangor itu mengganggu proses siasatan kes Sosilawati.

"Tidak ada sebab untuk beliau (Shamsul Iskandar) dan TV Selangor masing-masing membuat kenyataan serta menyiarkan laporan sedemikian. Umum mengetahui bahawa kes pembunuhan tersebut sedang dalam siasatan pihak polis, kata beliau kepada Utusan Malaysia.

Anehnya, Abdul Shukor tidak mahu sebarang tindakan dikenakan ke atas akhbar New Straits Times kerana menyiarkan rungutan orang ramai mengenai siasatan polis terhadap kes Sosilawati. Seperti Utusan, New Straits Times (NST) adalah sebuah lagi akhbar arus perdana kawalan Umno-Barisan Nasional.

Dalam laporan NST bertarikh 16 September, beberapa penduduk melahirkan rasa kesal kerana polis hanya mengambil tindakan terhadap suspek berkenaan selepas pembunuhan Sosilawati.

Mereka merasakan pembunuhan kejam itu boleh dielakkan jika polis telah bertindak lebih pantas dan telus atas beberapa laporan polis yang dibuat terhadap suspek berkenaan sejak 10 tahun lalu.

Malah salinan laporan itu turut dihantar kepada mantan Menteri Besar Khir Toyo tetapi tidak ada tindakan diambil, menurut NST.

Samsul sebelum ini mengkritik kepimpinan Tan Sri Musa Hassan selaku Ketua Polis Negara ketika beberapa laporan polis dibuat terhadap suspek berkenaan tetapi tidak ada tindakan dikenakan.

Suspek utama bersama adiknya dan beberapa konco mereka hanya ditangkap susulan pembunuhan Sosilawati dan tiga individu lain ekoran perlantikan Tan Sri Ismail Omar sebagai Ketua Polis Negara yang baru.

Tiada ulasan: