Jumaat, 24 September 2010

Isteri dedah rakaman

SINAR HARIAN ONLINE


KLANG – Isteri ahli perniagaan India, Allal Kathan Muthuraja, 35, yang dilaporkan hilang akan mendedahkan satu rakaman perbualan telefon antara beliau dengan suspek utama kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain.

S Usharani, 24, semalam memperdengarkan perbualan selama kira-kira dua minit yang dirakam menggunakan telefon bimbitnya dengan peguam terbabit yang juga suspek utama kes pembunuhan itu pada sidang media di pejabat Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam, di sini.

Rakaman melalui perbualan telefon bimbit jenis Nokia yang berlangsung dalam bahasa Tamil dan diterjemahkan peguam R Murugan dan A Sivanesan itu berkisar mengenai pertanyaan Usharani kepada suspek keadaan suaminya, Allal.

Usharani berkata, dalam perbualan pada 28 Januari itu, suspek mendakwa dia berada di Thailand dan hanya akan memberitahu beliau mengenai keadaan suaminya sebaik suspek balik dari negara itu.

Bagaimanapun, katanya, dia tidak mempercayai peguam terbabit walaupun suaminya sudah mengenalinya sejak 10 tahun lalu.

Turut dimainkan ialah rakaman perbualan telefon antara Usharani dengan seorang lelaki yang mendakwa dia pegawai polis dari Bukit Aman bernama 'Asisten Superintendan Suresh'.

“ASP Suresh meminta saya wang RM1 juta untuk menyelamatkan suami saya kerana mendakwa ditangkap atas kesalahan penyeludupan dadah jenis ketamin di negara ini,” katanya.

Selain itu, beliau turut menerima satu lagi panggilan telefon daripada seorang lelaki mendakwa dia 'Inspektor Muru' dari Bukit Aman dengan tujuan sama untuk meminta wang daripadanya.

Sementara itu, Manikavasagam berkata Usharani akan menyerahkan rakaman perbualan itu kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar hari ini, jam 11.30 pagi.

Kelmarin Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata, kes kehilangan Allal kini disiasat sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan.

Tiada ulasan: