Sabtu, 25 September 2010

Selangor Lancar ‘Workfare’, Tingkatkan Ekonomi Melalui Kebajikan

Oleh Sidiqin Omar


SHAH ALAM- Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata semenjak memerintah Selangor, Pakatan Rakyat telah memikirkan konsep untuk mengembalikan kemakmuran ekonomi negeri melalui kaedah pengagihan ekonomi yang sistematik dan adil.

“Itu tugas Menteri Besar dan tugas para Exco, bukan yang punya sumber-sumber. Tetapi mengurusnya dengan amanah. Pemegang sahamnya ialah rakyat Negeri Selangor. Dan merekalah (rakyat) yang akan menentukan bagaimana cara untuk menilai perkhidmatan kami,” kata Khalid.

Khalid menjelaskan demikian ketika menjawab soalan dari peserta dalam satu sesi dialog, selepas menyampaikan ucaptama pada program ‘Seminar Pelaksanaan Polisi ‘Workfare’ Negeri Selangor 2010′ di Dewan Jubli Perak, di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, disini, semalam.

Kira-kira 200 orang kakitangan, wakil pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi Kerajaan Negeri Selangor yang hadir bagi sesi taklimat berkenaan program terbaru kerajaan negeri, ‘Pelaksanaan Polisi Workfare Negeri Selangor’.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi & Inovasi dan Kebudayaan Negeri Selangor, Rodziah Ismail.

“Demokrasi itu memang diutamakan. Tetapi hasil dari demokrasi itu akan meningkatkan pembangunan kepada rakyat. Aspek pendapatan (ekonomi) itu yang perlu diutamakan.

“Ini adalah pelaksanaan peringkat kedua. Maknanya rakyat berhak bertanya kepada pemimpin, bagaimana pengurusan ekonomi di negeri Selangor ini dilakukan,” tambahnya.

Beliau turut mengingatkan kepada kakitangan kerajaan di negeri Selangor untuk memastikan hasil yang terbaik dengan menekankan kepada keberhasilan dan kelangsungan daripada konsep kebajikan, dan bukan semata-mata hanya bergantung kepada bantuan yang diberikan oleh kerajaan negeri.

“Inilah makna reformasi, iaitu dengan meningkatkan perkhidmatan dan ekonomi rakyat. Saudaralah yang akan memberikan penilaian kepada apa yang telah kami lakukan,” jelas Khalid.

Tiada ulasan: