Khamis, 23 September 2010

Sejarah hidup P Ramlee perlu ditulis semula?

THE MALAYSIAN INSIDER


Ahmad Nawab menyerahkan potretnya bersama seniman agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee kepada Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang Datuk Seri Mohd Yussof Latiff (kanan) dan Pengarah Arkib Negara cawangan Pulau Pinang Nasser Malim (tengah) untuk dipamerkan di Galeri P. Ramlee di George Town semalam. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR — Seniman Negara Datuk Ahmad Nawab yang memutuskan untuk menyerahkan beberapa koleksi peribadinya mengenai Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee mendakwa beliau kesal kerana banyak cerita mengenai kisah hidupnya tidak tepat.

Ahmad yang mahu membongkar semula kisah hidup seniman agung itu kepada Jabatan Arkib Negara memberitahu beliau mengenali P. Ramlee secara dekat kerana membantu seniman agung itu untuk mengubah lagu selama sembilan tahun malah pernah tinggal di rumahnya di Kuala Lumpur.

“Saya kesal kerana banyak cerita mengenai kisah hidup P.Ramlee adalah tidak tepat malah ada yang berbohong, saya kenal P.Ramlee kerana kami bekerjasama dalam membuat muzik, P.Ramlee tidak pernah meminta lagu dari sesiapapun untuk filemnya kecuali dari saya sahaja,” kata beliau dipetik Bernama.

Ahmad berkata, antara fakta yang tidak betul ialah mengenai dakwaan P. Ramlee seorang yang pandai bermain semua alat muzik sedangkan Seniman Agung itu hanya berkebolehan bermain piano untuk mencipta lagu.

“Jika kita lihat filem Ibu Mertuaku, yang meniup saksofon sebenarnya ialah Ahmad B dan dalam filem Masam-masam Manis pula, yang meniup saksofon adalah saya sendiri, ini kerana P. Ramlee tidak boleh bermain saksofon tetapi beliau berkebolehan untuk memegang saksofon dengan gaya yang betul,” katanya.

Beliau berkata beberapa fakta mengenai kisah hidup P. Ramlee yang diceritakan oleh kenalannya adalah tidak tepat kerana P. Ramlee sendiri tidak pernah ditemu bual oleh media semasa hayatnya.

“Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa P. Ramlee gemar untuk memakan buah tembikai dan dicicah dengan sambal kicap... ini pelik tetapi itulah kegemaran P. Ramlee,” katanya.

Sebagai permulaan Ahmad Nawab menyerahkan potret beliau bersama P. Ramlee yang dirakam pada tahun 1965 di Sarawak kepada Arkib Negara untuk dipamerkan di Galeri P. Ramlee.

Katanya, usaha menyerahkan koleksi peribadi mengenai seniman agung itu adalah penting supaya ia dapat menjadi tatapan generasi akan datang untuk mengenali kisah hidup P.Ramlee yang sebenar.

Tiada ulasan: