Sabtu, 25 September 2010

SANDIWARA POLIS LABUAN TERDEDAH?

SABAH KINI


DITEMUI
.... Saiman (tengah) menunjukkan sepucuk pistol buatan sendiri yang ditemui sambil diperhatikan oleh Mohd Amy (kiri) dan C/Insp. Syed Asrul kepada media di pejabatnya, kelmarin.

KEJAYAAN Polis Di Raja Malaysia (PDRM) Wilayah Persekutuan Labuan menahan seorang lelaki tempatan yang amat dikehendaki oleh pihak PDRM Lawas, Sarawak kerana terbabit dalam kes cubaan bunuh menggunakan senjata api dalam satu pergaduhan keluarga yang berlaku di kampung Siang-Siang Lawas, pada 14 September lalu amat dialu-alukan oleh rakyat Sabah, Sarawak dan Labuan.

Ketua Polis Daerah Wilayah Persekutuan Labuan, Superitendan Saiman Kasran berkata, suspek yang disabitkan dengan cubaan bunuh mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan oleh PDRM Lawas di tahan di rumah anak lelakinya di Taman Mutiara Sungai Bedaun Labuan pada 17 September lalu.

Namun rakyat Labuan kesal kerana Unit D7 PDRM menyuburkan kegiatan maksiat di Labuan terutama pelacuran di Kelab Malam dan Pusat Hiburan seperti yang didedahkan sebelum ini.

Mengikut Krew Sabahkini.Net di Labuan, selepas tersiarnya kisah ‘Bapa Ayam’ bernama ‘Amoi’ di Sabahkini.net, PDRM mula gelisah dan bimbang kerana operasi haram mengutip tol mereka mula dipantau oleh penduduk Labuan sendiri yang tidak lagi percaya kepada polis.

Akibatnya, seminggu lalu, seramai 19 GRO dari sebuah Pusat Hiburan, Blue Wave, telah melarikan diri dari kuaters yang mereka tinggal kerana beberapa orang pegawai polis yang bersubahat bersama Amoi tidak menjaga GRO kerana bimbang menjadi mangsa lensa kamera Krew Sabahkini.net.

Menurut siasatan Krew Sabahkini.net, seorang GRO yang dikenali sebagai Easther, ‘Amoi’ telah mengugut rakannya dengan sebilah pisau kerana isteri ‘Amoi’ mengetahui bahawa suaminya mempunyai skandal seks dengan perempuan GRO yang dijaganya sendiri.

Kesemua 19 GRO di kuaters berkenaan telah berjaya melarikan diri pada tengah malam sewaktu Amoi sedang tidur setelah mereka berjaya memecahkan kunci dan polis yang diarah mengawal GRO berkenaan bertempiaran lari setelah menyedari Krew Sabahkini.net mengesan pergerakan mereka.

Malangnya, kesemua GRO berkenaan telah melarikan diri dan mendapat perlindungan di rumah Emelda Doliente @ Nursiah Abdullah, isteri seorang peniaga tempatan. Emelda dianggap sebagai ‘Duta Filipina’ di Labuan.

Kes Emelda telah disebarkan secara meluas oleh Malaysia Today sebelum ini, terutama dakwaan Ketua Penerangan AMK PKR Sabah, Zainuddin Hassan bahawa Emelda memiliki enam pasport Filipina sebelum mendapat Mykad dan mempunyai hubungan rapat dengan Ketua Cawangan Khas (KCK) Labuan, ketika itu, Abdul Razak Arshad yang juga merupakan rakan suami Emelda.

Bagaimanapun, kes 19 GRO yang melarikan diri ini tidak dilaporkan kepada mana-mana pihak kerana Emelda berjaya memujuk 19 GRO berkenaan agar tidak membuat laporan polis dan berjaya menyeludup mereka keluar daripada Labuan setelah Taukeh kepada ‘Amoi’ bersetuju membayar pampasan RM2,000 kepada setiap GRO berkenaan.

Krew Sabahkini.net melaporkan, dengan bantuan PDRM dan Imigresen Labuan, Emelda berjaya menyeludup keluar kesemua 19 GRO berkenaan dengan feri khas daripada Labuan pada 20 September 2010 untuk kembali ke Filipina tanpa sebarang dokumen pengenalan diri.

Tiada ulasan: