Sabtu, 4 September 2010

Salah laku di internet: PM mahu tindakan tegas

BERNAMA


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini mahu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang didapati memuatkan sebarang artikel atau kenyataan sensitif dan menghina agama di laman web atau laman sosial.

Perdana Menteri berkata, semua pihak di negara ini perlu sedar bahawa sebarang pengisian di laman web yang keterlaluan akan menyentuh perasaan pihak yang terlibat.

"Mereka patut sedar bahawa laman web ini bukanlah satu kebebasan mutlak yang membolehkan kita melakukan apa saja termasuk menghina agama lain atau peribadi orang lain.

"Kita mesti menggunakan alternatif media ini dengan rasa penuh tanggungjawab," katanya kepada pemberita di Pekan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kecenderungan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab kebelakangan ini yang menyiarkan kenyataan berbaur hasutan dan menghina agama di laman web atau laman sosial seperti Facebook.

Terbaru, Gerakan Pemuda Prihatin Putrajaya (GEMPUR) membuat laporan polis berhubung satu akaun laman sosial, Facebook yang dikesan menghina Islam dan Allah dengan kata-kata kesat.

Perdana Menteri berkata, semua pihak perlu menghormati undang-undang negara ini dan tidak membuat sebarang kenyataan yang dilihat akan mengguris pihak lain, terutama sekali apabila menyentuh soal agama.

"Apa saja yang kita muatkan dalam laman web dan Facebook dan sebagainya akan menyentuh perasaan pihak lain. Kita ada undang-undang kita, pihak berkuasa seperti SKMM perlu ambil tindakan sewajarnya.

"Mereka yang menyalahi undang-undang dan memuat apa-apa pengisian yang boleh bersifat keterlaluan sama ada dari segi menyentuh sensitivi agama lain patut diambil tindakan," katanya.

Najib berkata, rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini perlu sedar bahawa Malaysia mempunyai undang-undang yang melindungi kesucian agama Islam.

"MCMC kena bertindak, saya berharap mereka bertindak tegas dalam perkara ini. (Perkara) ini sesuatu yang tidak boleh kita benarkan," katanya.

Terdahulu, Najib menyampaikan sumbangan bantuan duit raya dan zakat kepada lebih 4,000 golongan miskin, ibu tunggal, termasuk kaum bukan Melayu bagi kawasan parlimen Pekan.

Turut hadir isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor.

Bercakap kepada pemberita, Najib berharap pihak swasta dan syarikat berkaitan kerajaan terus memainkan peranan penting dalam membantu golongan miskin menerusi bantuan zakat dan sebagainya.

"Saya amat mengalu-alukan apa yang dilaksanakan pihak swasta termasuk juga syarikat yang berkaitan kerajaan.

"Pertama kita lihat kewajiban mereka dari segi tanggungjawab dalam Islam (menerusi pemberian) zakat, dan yang kedua ada juga pihak swasta dan syarikat berkenaan yang menyediakan dana untuk melaksanakan program sosial yang dilihat dapat membantu kerajaan memerangi kemiskinan dan membantu golongan kurang bernasib baik," katanya.


Tiada ulasan: