Jumaat, 24 September 2010

RPK Minta Kerajaan Malaysia Buktikan Kesungguhan


TV SELANGOR

LONDON : Pengendali laman sesawang Malaysia-Today Raja Petra Kamarudin mencabar kerajaan Perdana Menteri Najib Abdul Razak untuk menyerahkan paspot baru dan tiket kapal terbang kepada beliau selewat-lewatnya 2 Oktober depan, jika Najib benar-benar mahu menyelesaikan isu antara mereka di mahkamah tanahair.

Selain itu, Najib perlu akur kepada syarat-syarat tertentu yang diperincikan dalam satu surat yang akan dihantar peguam Raja Petra kepada Persuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom, Datuk Zakaria Sulong.

Raja Petra bagaimanapun enggan mendedahkan kandungan surat itu.

Beliau berkata dua perkara ini adalah peluang untuk Najib membawanya pulang, selepas pihak berkuasa Malaysia dilaporkan gagal mengesan beliau yang dikatakan menetap di London.

"Terpulang pada kerajaan untuk menjawab, atau tutup mulut mereka selama-lamanya. Samada mereka terima atau tidak perlu lagi susah-susah mahu menghubungi saya," kata Petra.

"Saya mahu paspot baru dan tiket baru. Tanpa dua benda ini, macam mana saya mahu pulang?" kata Petra yang memberitahu paspotnya telah luput dan Kerajaan Malaysia perlu mengemukakan paspot baru kepadanya bagi membolehkan beliau pulang.

Raja Petra menyelamatkan dirinya ke luar negara pada Mei 2009, selepas mendakwa adanya usaha untuk menahan beliau dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Raja Petra tampil ke khalayak umum pada Mei tahun ini selepas polis berkata mereka tidak dapat mengesan dimana beliau berada. Raja Petra berkata beliau telah menemui beberapa pemimpin Umno di United Kingdom sepanjang bersembunyi di sana.

Najib menjadi sasaran utama Raja Petra yang menuduh Presiden Umno itu terbabit secara langsung dalam pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

Tiada ulasan: