Rabu, 22 September 2010

Perbicaraan simbah cat Surau ditangguh 19 Oktober

FREE MALAYSIA TODAY

Surau simbah cat SEREMBAN: Perbicaraan tiga juvana yang didakwa menyimbah cat pada surau di Taman Sri Pulai Ogos lalu ditangguhkan pada 19 Oktober depan kerana laporan akhlak Jabatan Kebajikan Masyarakat masih belum siap.

Mereka mengaku bersalah ketika dihadapkan di Mahkamah Kanak-Kanak di sini akhir bulan lalu dan dibenarkan ikat jamin RM1,000.

Mahkamah turut menetapkan hari ini sebagai tarikh sebutan semula kes itu sementara menunggu laporan akhlak ketiga-tiga remaja itu.

Tertuduh yang berusia antara 15 dan 17 tahun itu didakwa melakukan kesalahan terbabit antara jam 3 pagi hingga 4 pagi, 23 Ogos lalu.

Dalam pertuduhan pertama, ketiga-tiga remaja didakwa melakukan khianat dengan membaling botol di surau tersebut.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh kedua dan ketiga didakwa melakukan khianat dengan menyimbah cat di surau sama.

Bagi setiap pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Tertuduh pertama turut menghadapi satu lagi pertuduhan iaitu bersubahat melakukan kesalahan menyimbah cat di surau terbabit mengikut Seksyen 109 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Tiada ulasan: