Sabtu, 25 September 2010

NUJ Pertikai Tindakan KDN Terhadap Suara Keadilan


Oleh Dzulkarnain Taib

SHAH ALAM - Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), Hata Wahari mempertikaikan tindakan Kementerian Dalam Negeri yang enggan memperbaharui permit penerbitan organ rasmi Parti Keadilan Rakyat, Suara Keadilan sambil menyifatkan kementerian tersebut bersikap bias.

Hata yang juga wartawan kanan Utusan Malaysia menegaskan KDN tidak sepatutnya memangsakan akhbar Suara Keadilan tetapi sebaliknya seharusnya mengambil tindakan terhadap pengarang atau wartawan jika mereka melanggar undang-undang.

"Mengapa harus akhbar ini dimangsakan? KDN perlu ingat bahawa setiap organisasi media bukan sahaja mempunyai bahagian editorial tetapi juga unit lain di bawahnya seperti gafik, pemasaran dan pentadbiran. Dengan mengantung permit Suara Keadilan, KDN dilihat seolah-olah berdendam dan mahu mematikan akhbar tersebut walhal yang bertanggungjawab mungkin editor atau pengarang sahaja. Biarkan akhbar terus wujud walau apa pun masalah yang timbul.

"Saya menggesa KDN bersikap profesional dan tidak memihak kepada mana-mana pihak. Akhbar adalah milik rakyat samada ia dilihat menyokong Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat dan KDN dalam hal tidak boleh masuk campur. Kalau Felda ada masalah dengan artikel yang disiarkan oleh Suara Keadilan biar kedua-dua pihak yang selesaikan bukannya KDN masuk campur dan ambil tindakan terhadap akhbar itu," kata Hata ketika dihubungi Suara Keadilan.

Permit penerbitan lidah rasmi KEADILAN tamat tempohnya pada 30 Jun lalu dan sejak itu pihak KDN terus mengambil sikap berdiam diri dan enggan memperbaharui permit tersebut.KDN menggunakan alasan ia tidak berpuas hati terhadap dua pucuk surat penjelasan dari Suara Keadilan malah membuat laporan polis pula terhadap akbbar tersebut.

Ini ekoran tersiarnya artikel berjudul "Felda Bankrap" dalam bilangan 237 edisi 22-29 Jun 2010 Suara Keadilan.

Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan anak syarikatnya, Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd kemudiannya bertindak dengan mengemukakan tuntutan saman RM200 juta terhadap enam pihak iaitu Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Presiden, Senator Dr Syed Husin Ali, Pelita Koridor Sdn Bhd, Percetakan NPK Sdn Bhd, editor Suara Keadilan Dzulkarnain Taib dan penulis artikel itu Rusnizam Mahat.

"Media di negara ini hendaklah disuburkan bukan ditekan atau dikuburkan. Lihat sahaja keadaan industri media di negara jiran Indonesia di mana mereka bebas untuk bersuara dan mengeluarkan pendapat. Sekiranya ada pihak berasa dianiaya disebabkan laporan yang dihasilkan oleh mana-mana media, mereka boleh mengambil tindakan mahkamah. Jadi pihak media dan pihak yang menyaman bolehlah mengemukakan hujah masing-masing dan biarlah mahkamah tentukan.

"Jadi akhbar berkenaan terus beroperasi tanpa gangguan kerana yang terlibat hanya pihak yang bertanggungjawab mengeluarkan artikel yang dipertikaikan tanpa melibat atau menganiaya pihak lain.

"Saya harap pihka KDN menimbang semula pendirian berhubung isu Suara Keadilan dan bersikap adil dan telus dalam tindakan mereka," tegas Hata lagi.

Tiada ulasan: