Khamis, 16 September 2010

Mualaf dituduh sebabkan kematian ustazah, anak


ALI TAN dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Seremban selepas dituduh membunuh dua beranak, di Jalan Sutera Lama, Port Dickson, 3 September lalu.

Oleh Tuty Haryanti Ahmad Rodzi

Tiada pengakuan direkodkan daripada pemasang paip gas

SEREMBAN: Seorang mualaf didakwa di Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas tuduhan membunuh seorang ustazah dan anak lelakinya di sebuah rumah flet di Port Dickson, awal bulan ini.

Tertuduh, Ali Tan Abdullah, 34, menghadapi dua pertuduhan menyebabkan kematian Norliza Ishak, 35, dan anaknya, Amirol Ayman Mohd Yusoff, 10.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang juga jiran mangsa.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kematian Norliza di rumah bernombor B5-1-09B Flet Win Min, Pasar Baru, Port Dickson, antara jam 3.15 petang pada 2 September hingga 10.15 pagi pada 3 September lalu.

Bagi pertuduhan kedua, Ali Tan yang bekerja sebagai pemasang paip gas syarikat minyak dan gas sekitar Port Dickson, didakwa dengan sengaja menyebabkan kematian Amirul Ayman di lokasi, waktu dan tarikh sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dihukum mati.
Majistret M Mageshwary menetapkan 18 Oktober depan untuk sebutan semula kes di Mahkamah Majistret Port Dickson. Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Mahmud Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam John Fernandez.

Sementara itu suami Norliza, Mohd Yusof Awang Besar, 37, ketika ditemui berkata, proses pengadilan diharap berjalan dengan sewajarnya hingga tertuduh menerima hukuman setimpal dengan perbuatan dilakukannya.

“Saya tidak kenal tertuduh, tetapi akan terus mengikuti setiap perbicaraan kes ini dan akan hadir semula ke mahkamah pada 18 Oktober depan,” katanya yang terus pulang ke Kelantan sebaik pertuduhan kes itu selesai.

Tiada ulasan: