Sabtu, 25 September 2010

Mahathir Hadir Kali Pertama Ke Kelantan Selepas Disembur Cecair

BERNAMA

PASIR MAS: Buat pertama kali bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad datang ke Kelantan pada Sabtu setelah insiden beliau disembur cecair di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, empat tahun lalu.

Dr Mahathir yang diiringi oleh isteri beliau Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali datang ke negeri ini untuk menghadiri perhimpunan Melayu Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA).

Beliau tiba di majlis itu dengan memakai kain lilit di kepala bewarna kuning dengan corak bunga padi serta mengenakan selempang merah di bahunya.

Ketibaan Dr Mahathir disambut dengan sorakan gemuruh dan laungan "hidup Melayu" oleh kira-kira 10,000 orang termasuk Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali.

Kali terakhir Dr Mahathir datang ke Kelantan ialah pada 2006.

Pada lawatan itu, Dr Mahathir telah disembur dengan cecair yang merbahaya di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa pada pukul 11 pagi, 28 Julai 2006.

Berikutan insiden itu seorang ahli perniagaan, Datuk Nik Sapeia Nik Yusoff, 55, telah didakwa di mahkamah atas tuduhan menyebabkan kecederaan dengan menyembur bahan merbahaya kepada Dr Mahathir.

Kes itu masih dibicarakan.

Tiada ulasan: