Jumaat, 17 September 2010

Konsert batal, Siti Nurhaliza undur atas nasihat pakar sakit puan

TERKINI
THE MALAYSIAN INSIDER


Salinan surat memaklumkan Siti Nurhaliza yang tidak dapat menjayakan konsert Sambutan Hari Malaysia Bersama Datuk Siti Nurhaliza bertarikh 15 September 2010.
GEORGE TOWN– Penyanyi tersohor Datuk Siti Nurhaliza Tarudin telah memutuskan untuk menarik diri daripada menyertai konsert anjuran kerajaan negeri Pulau Pinang sempena Hari Malaysia atas nasihat pakar sakit puan.

Konsert itu dijadual untuk diadakan di sini 25 September ini.

Minggua lalu, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mengumumkan bahawa Siti Nurhaliza akan mengadakan persembahan sejam pada konsert yang diatur untuk meraikan semangat Hari Malaysia.

Ekoran keputusan beliau menarik diri maka konsert ini dibatalkan, kata Lim.

“Pada tahap ini, kami tiada masa untuk membuat sebarang perubahan, jadi konsert ini dibatalkan,” katanya.

“Kami kesal dengan perkembangan ini, tetapi kami menghormati dan mendoakan kesihatan terbaik buat beliau,” kata Lim pada sidang media di Komtar hari ini.

Lim berkata beliau ada menerima surat daripada syarikat penyanyi itu, Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn Bhd semalam bersama salinan surat daripada pakar sakit puan.

“Pakat sakit puan dari Prince Court Medical Centre ada memberikan sijil mengatakan Siti Nurhaliza tidak boleh adakan perjalanan atau terlibat dalam aktiviti fizikal ketika beliau menerima rawatan,” kata Lim.

Siti Nurhaliza mendirikan rumah tangga kira-kira empat tahun lalu.

Lim enggan mengulas lanjut kandungan surat daripada pakar sakit puan yang diterimanya, dengan meminta agar sebarang persoalan berkaitan diajukan kepada pengurus beliau.

Bagaimanapun kata Lim, berita itu sudah pasti akan menjadi sesuatu yang menarik dalam dunia hiburan.

Sebelum ini dilaporkan bahawa Siti Nurhaliza dan suaminya Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa berusaha untuk mendapatkan anak menerusi kaedah penyuburan “in-vitro”.

Lim juga memberitahu, Siti Nurhaliza Productions juga telah memulangkan deposit kerajaan negeri RM60,000 dan juga akan memikul kos-kos lain yang berkaitan.

Pada 6 September lalu, Lim mengumumkan kerajaan negeri Pulau Pinang akan mengadakan konsert Siti Nurhaliza secara percuma bagi memberi makna kepada sambutan Hari Malaysia.

Persembahan itu dijadual untuk berlangsung di Stadium Bandaraya Pulau Pinang dengan bertemakan “Menyambut Hari Malaysia Bersama Dato’ Siti Nurhaliza”.

Tiada ulasan: