Jumaat, 24 September 2010

Keputusan Mahkamah Suntik Semangat Kepada Gerakan Mahasiswa


Oleh Norasikin Samsi

KUALA LUMPUR - Keputusan Mahkamah Sesyen Jenayah Kuala Lumpur menggugurkan pertuduhan terhadap lima mahasiswa Universti Malaya yang didakwa terbabit berhubung kes 'Bini Puaka' menggambarkan mereka yang dituduh telah menjadi mangsa fitnah dan khianat pihak yang tidak bertanggungjawab.

Setiausaha Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Mohd Ridzuan Othman tujuan memangsakan kelima-lima pelajar tersebut adalah bagi mematikan gerakan mahasiswa di universiti tersebut.

Pada masa yang sama Mohd Ridzuan juga menganggap keputusan itu sebagai titik permulaan keterbukaan institusi kehakiman sekaligus menyuntik semangat kepada momentum gerakan mahasiswa di negara ini.

"Ini menunjukkan keterbukaan sistem mahkamah dan inilah apa yang kita impikan selama ini dan apa yang paling penting keputusan hari ini akan menggerakkan momentum pergerakan mahasiswa.

"SMM ingin tegaskan gerakan mahasiswa tidak lagi boleh diperbodohkan oleh mana-mana pihak dan pelajar yang didakwa juga telah bebas daripada semua pertuduhan yang dikenakan selama setahun lebih.

"Alhamdulillah di atas kemenangan lima mahasiswa terbabit, SMM mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada pihak mahkamah dan peguam kerana mengendalikan perbicaraan kes ini dengan adil dan saksama," kata beliau.

Sementara, itu salah seorang yang tertuduh, Shazni Munir Mohd Ithnin bersyukur kerana beliau dan rakan-rakannya dibebaskan dan mengucapkan terima kasih kepada mahasiswa yang datang memberi sokongan.

Ahli Majlis Tertinggi SMM, Mohd Hilman Idham menyambut baik keputusan mahkamah hari ini yang membebaskan rakan-rakannya.

"Keputusan hari ini membuktikan mahasiswa bukan penjenayah sepertimana yang didakwa sebelum ini. Mahasiswa bukanlah mereka yang boleh diambil peluang untuk dikambing hitamkan.

"Kita tidak pernah menyokong penjenayah. Keputusan ini telah melakar satu sejarah kepada mahasiswa bahawa mahasiswa bertindak seperti yang dituduh dan mereka bakal menggegarkan arena gerakan mahasiswa tanah air melalui pendirian dan pegangan yang telah kita sepakati bersama," katanya.

Pagi tadi mahkamah memutuskan tiada kes 'prima facie' untuk mengaitkan kelima-lima tertuduh bersabit kes itu.

Hakim Rozana Ali Yusoff kemudian mengarahkan mereka yang berdepan dengan tuduhan cubaan melakukan khianat dengan menggunakan api dan melakukan pencerobohan jenayah dibebaskan.

Lima mahasiswa berkenaan - Shazni Munir, Muhammad Aizat Roslan, Muhammad Saufi Jelani, Mohd Izzuddin Hilmi Mohd Zaini dan Mohd Syahruldeen Ahmad Rosli dituduh melakukan jenayah di bawah Seksyen 427, 436 dan 447 Kanun Keseksaan.

Bagi Seksyen 427, mereka dituduh menyimbah petrol di atas permaidani yang bakal dilalui isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan menconteng di sebuah dewan akademi pengajian itu kira-kira jam 4 pagi.

Manakala bagi Seksyen 436, kelima-lima mahasiswa itu dituduh melakukan perbuatan khianat dengan menggunakan api di tempat dan waktu yang sama.

Bagi Seksyen 447 pula, mereka dituduh melakukan pencerobohan jenayah pada tarikh dan masa yang sama.

Bagi menyatakan sokongan kepada rakan seperjuangan mereka, SMM mengadakan 'Himpunan Bebaskan Mahasiswa' di Kompleks Mahkamah Jalan Duta sambil melaungkan 'Bangkit Mahasiswa', 'Tolak Kezaliman' dan 'Student Power.

Sementara itu, di luar bangunan mahkamah, ibu Ahmad Syahruildeen, Kamalia Mohd Nor yang tiba selepas keputusan itu dibacakan memeluk erat dan mencium anaknya.

Sambil menitis air mata, beliau mengucapkan syukur kepada Tuhan kerana anaknya telah dibebaskan daripada pertuduhan tersebut.

"Makcik amat bersyukur sekali dengan keputusan ini. Setelah hampir setahun lebih menunggu dan akhirnya anak makcik dan rakan-rakannya mendapat pembelaan yang adil hari ini," kata Kamalia.

Tiada ulasan: