Rabu, 8 September 2010

Jumlah trafik mula meningkat tapi masih lancar

BERNAMA


Keadaan trafik di lebuh raya utama seluruh Semenanjung masih lancar walaupun berlaku kesesakan di laluan tertentu ketika orang ramai pulang ke kampung halaman untuk menyambut Aidilfitri.

Jurucakap trafik Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, pemantauan aliran trafik setakat 6 petang menunjukkan cuma beberapa kawasan di sebelah pantai barat sesak manakala trafik di sebelah pantai timur termasuk Lebuhraya Karak dan Lebuhraya Pantai Timur masih berjalan lancar.

Katanya, bagi Lebuhraya Utara-Selatan, trafik perlahan ke arah selatan bermula dari Nilai menuju ke Seremban, manakala di arah utara kesesakan berlaku dari Plaza Tol Juru ke utara, dari Terowong Menorah ke Kuala Kangsar dan dari Bertam ke Sungai Dua.

"Kesesakan juga berlaku di Jambatan Pulau Pinang dari bahagian susur masuk jambatan ke Seberang Jaya. Ini kerana berlakunya kemalangan maut di KM138.2 ke arah utara yang melibatkan sebuah motosikal, kereta dan lori," katanya ketika dihubungi hari ini.

Di kawasan Lembah Klang, hujan lebat menyebabkan trafik perlahan di Lebuhraya KESAS dari Sri Petaling menuju ke Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), manakala Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) sesak di kedua-dua arah.

"Trafik juga sesak di NKVE dari Subang ke Damansara dan Damansara ke Dataran Prima serta di kawasan Plaza Tol Duta ke Bukit Lanjan," katanya.

Sementara itu, jurucakap di unit pemantauan trafik Bukit Aman, ketika dihubungi, berkata keadaan trafik perlahan berlaku di bahagian Lebuhraya Karak masuk ke jalan perbandaran di persimpangan Bentong.

Katanya, setakat 6 petang tadi, lima kematian dan 202 kemalangan telah dicatat di semua jenis jalan di seluruh Semenanjung.


Tiada ulasan: