Jumaat, 3 September 2010

Isu surat sokongan: DAP pecat dua ahli


tan_7 Oleh Rahmah Ghazali

PETALING JAYA: Jawatankuasaa Disiplin DAP hari ini memecat dua ahli parti, yang mempunyai hubungan dengan ahli exco kerajaan negeri Selangor Ronnie Liu, kerana melanggar disiplin dengan mengeluarkan dua surat sokongan kepada sebuah syarikat milik mereka sendiri.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa itu Tan Kok Wai, kedua-dua Yap Hock Siew dan Ong Chai Huat dipecat untuk tempuh dua tahun, sementara menunggu rayuan dalam masa 14 hari.

Menurut Tan, mereka melakukan kesalahan "konflik kepentingan secara langsung" apabila Yap mengeluarkan sepucuk surat sokongan menggunakan kepala surat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Pandamaran bertarikh 17 Jun berkaitan projek perniagaan di mana kedua-dua mereka adalah rakan kongsi.

Tan berkata, "Yap dan Ong adalah pengerusi dan naib pengerusi DAP cawangan Pasar Pandamaran apabila mereka melakukan kesalahan itu.

"Mereka mempunyai 14 hari dari tarikh tindakan disiplin diambil untuk membuat rayuan secara bertulis terhadap keputusan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC)," katanya.

Tindakan disiplin ini diambil sejurus selepas penggantungan Yap sebagai ketua kampung di Kampung Baru Pandamaran oleh kerajaan negeri kerana bertindak "secara boleh mencetuskan konfilik kepentingan peribadi."

Insiden ini muncul apabila FMT melaporkan pada 18 Ogos lalu bahawa Yap telah mengeluarkan sepucuk surat sokongan kepada sebuah syarikat miliknya untuk mendapatkan kontrak pembersihan dan penyelenggaraan pintu air.

Pengeluaran surat sokongan ini kononnya mendapat sokongan daripada Liu yang juga ahli dewan undangan negeri Pandamaran.

Yap bagaimanapun, menafikan bahawa beliau menerima sebarang kontrak sejak dilantik sebagai ketua kampung tahun ini.

Tiada ulasan: