Ahad, 19 September 2010

Hubungan Umno-Perkasa Ibarat Kerjasama Umno Dengan Pandu Puteri - Mohamad Aziz

TV SELANGOR

SHAH ALAM : Setelah bos mereka mengisythiarkan Umno tidak mahu berkonflik dengan Perkasa, beberapa pemimpin parti itu kini tampil memberi kenyataan yang berdolak dalih dan melucukan.

Selepas menolak Perkasa sebagai pertubuhan yang memudaratkan Barisan Nasional, Setiausaha Agung Umno, Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini dilaporkan berkata Umno mahu “rapat” dan “berdialog” dengan pertubuhan itu.

Timbalan Pengerusi Tetap Umno Datuk Mohamad Aziz pula berkata Umno dan Perkasa berkongsi perjuangan sama tetapi cuma berada di landasan berbeza.

Malah, Mohamad menyifatkan hubungan Umno dan Perkasa adalah sehaluan dalam mencari kebaikan.

"Tidak perlu (Umno dan Perkasa) berasingan. (Contohnya hubungan) Umno dengan pengakap, Umno dengan Pandu Puteri, Umno dengan St John Ambulans, persatuan Palang Merah, masing-masing ada tugas, ada matlamat," kata beliau.

Kenyataan dua pemimpin Umno itu menyusul setelah Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat tunduk kepada tekanan dalaman parti dan mantan Perdana Menteri Mahathir Mohamad bersabit isu Perkasa.

Najib semalam berkata partinya tidak mahu mencetuskan sebarang konflik dengan Perkasa dan berkata ada masanya Umno akan bersetuju dengan pertubuhan itu dan ada masanya tidak.

Pendirian samar-samar Perdana Menteri itu mencemaskan parti komponen BN yang mahukan Umno menolak Perkasa yang dilihat sering mengeluarkan pendirian-pendirian rasis dalam memperjuangkan ketuanan Melayu dan hak istimewa kaum itu.

Tindak-tanduk Perkasa menjadi satu daripada faktor sokongan kaum bukan Melayu untuk Umno dan parti komponen BN semakin merosot sehingga Najib dilaporkan mengarahkan pemimpin-pemimpin Umno untuk menjarakkan diri dari Perkasa.

Bagaimanapun arahan itu tidak diikuti sepenuhnya apabila segelintir pemimpin dilihat bersetuju dengan Tun Mahathir bahawa Umno memerlukan Perkasa.

Utusan Malaysia, yang dikawal oleh Umno turut mengambil pendirian bahawa pertubuhan bukan kerajaan itu harus didokong oleh Umno sungguhpun ia tidak disenangi oleh parti komponen BN yang lain .

Mohamed berkata sekiranya ada pemimpin Umno yang berpendapat parti itu harus menjauhkan diri daripada Perkasa, ia mungkin merupakan pendapat peribadi pemimpin tersebut dan bukan mencerminkan pendirian parti.

Tiada ulasan: