Khamis, 23 September 2010

Himpunan Bebaskan Mahasiswa: Pro-M UPM tetap hadir esok

MERDEKA REVIEW

Umum mengetahui, esok merupakan hari penting kepada lima orang mahasiswa iaitu Shazni Munir Mohd Ithnin, Muhammad Aizat Roslan, Muhammad Saufi Jelani, Mohd Izzuddin Hilmi Mohd Zaini dan Mohd Syahriuldeen Ahmad Rosli dari Universiti Malaya yang dituduh melakukan jenayah di bawah Seksyen 427, 436 dan 447 Kanun Keseksaan.

Justeru itu, Pro Mahasiswa Universiti Putra Malaysia (Pro-M UPM) sebagai sebuah gerakan mahasiswa bersedia untuk menghantar seramai mungkin mahasiswa UPM ke Mahkamah Jalan Duta esok bagi memberi sokongan moral kepada mereka yang dituduh.

Walaubagaimanapun, pada waktu pagi tadi kami dihubungi dengan panggilan telefon daripada wakil Timbalan Naib Canselor Bahagian Hal Ewal Pelajar (BHEP) yang meminta kami untuk tidak menghantar mahasiswa daripada mendengar keputusan perbicaraan.

Pro Mahasiswa UPM ingin menyatakan pendirian bahawa kami akan terus menghantar mahasiswa UPM ke Mahkamah Jalan Duta esok. Kami berpendapat bahawa pihak BHEP tidak mempunyai kuasa untuk menghalang mana-mana mahasiswa daripada mendengar keputusan perbicaraan di mahkamah.

Pihak kami juga menyeru agar mahasiswa dapat turun beramai-ramai untuk memberi sokongan moral kepada lima orang mahasiswa yang dituduh.

*Kenyataan media oleh Syed Syafiq bin Syed Hashim, selaku Pengerusi Pro Mahasiswa UPM.

Tiada ulasan: