Jumaat, 24 September 2010

Gereja diroboh: Orang Asli dapat pampasan

Aidila Razak

Mahkamah Tinggi semalam mengarahkan bayaran pampasan dibuat kepada Orang Asli Laut dari Kuala Masai, Johor kerana gereja mereka dirobohkan oleh pihak berkuasa pada tahun 2005.

Dalam keputusannya yang memihak plaintif - Khalip Bachik dan Kelah Bin Lah, hakim Zakiah Kassim berkata pihak defendan telah menceroboh tanah Orang Asli dan tidak mempunyai hak untuk meruntuhkan gereja mereka (gambar dirakam sebelum dirobohkan).

Orang Asli membawa kes mereka ke mahkamah ke atas pengarah Jabatan Tanah dan Galian Johor, Majlis Bandaraya Johor Bahru dan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA).

Zakiah juga memutuskan bahawa meskipun tanah berkenaan tidak digazetkan sebagai tanah Orang Asli walaupun sepatutnya berbuat demikian pada tahun 2000 tidak melepaskan pihak defenden.

JHEOA dan pentadbir tanah Johor Bahru sebelum ini telah menolak permohonan masyarakat Orang Asli untuk membina sebuah gereja kecil dengan alasan mereka tidak mempunyai hak berbuat demikian kerana tanah itu kepunyaan kerajaan.

Mahkamah juga diberitahu mengenai taktik kasar yang digunakan oleh pihak berkuasa negeri dan majlis bandaraya dalam merobohkan gereja itu pada 15 Disember iaitu sepuluh hari sebelum perayaan hari Krismas.

Peguam mereka, Steven N Thiru berkata belum dipastikan sama ada pihak defenden akan membuat rayuan berhubung keputusan itu.

Jumlah pampasan masih ditaksir dan gereja berkenaan memerlukan tiga bulan untuk dibina dengan anggaran kos RM40,000.

Tiada ulasan: