Rabu, 15 September 2010

Dakwaan Cina Kuasai BN Dan Pakatan Rakyat, Ibrahim Ali Ketinggalan Zaman


TV SELANGOR

Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali disifatkan sebagai seorang ahli politik yang ketinggalan zaman apabila melabel parti yang didominasi kaum Cina sebagai pihak yang menguasai Pakatan Rakyat mahupun Barisan Nasional (BN).

Buktinya, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Lee Boon Chye yang juga Ahli Parlimen Gopeng itu berkata MCA bukan parti yang menguasai Umno kerana umum mengetahui Umno sebenar yang parti dominan dalam BN.

Bercakap kepada TV Selangor, beliau juga tidak bersetuju dengan dakwaan DAP menguasai Pakatan Rakyat, sebuah entiti parti pembangkang yang menempatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat.

Boon Chye juga menyifatkan Ibrahim sebagai pengamal politik perkauman kerana melontarkan kenyataan sedemikian.

" Sepatutnya kita dalam alaf 21, sepatutnya meninggalkan politik perkauman tetapi malangnya setakat ini kita belum lihat Ibrahim Ali yang sanggup memperjuangkan semua warganegara Malaysia," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengikut laporan Malaysian Insiders hari ini, Ibrahim dilapor berkata, MCA kini menguasai Umno yang minggu lalu mengisytiharkan pendiriannya menjauhkan diri daripada Perkasa.

Ibrahim juga dipetik berkata, BN bertindak seolah-olah Pakatan Rakyat yang didakwa beliau, parti orang Melayu dan Islam seperti PAS dan PKR kini dikuasai DAP.

Sebelum ini, pimpinan Umno menyatakan pendirian untuk menjarakkan diri dari Perkasa bagi memenangi semula undi bukan Melayu yang majoritinya beralih kepada Pakatan Rakyat.

Namun, tindakan itu dikritik bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Boon Chye menganggap kenyataan Ibrahim selaku pengamal fahaman politik perkauman dibuat berikutan Umno, sebuah parti yang mengaku memperjuang kaum Melayu, mengambil pendirian menjauhkan diri dari pertubuhan bukan kerajaan itu.

Bagi beliau, tidak ada parti di negara ini yang memiliki sikap perkauman lebih tebal daripada Umno – parti politik yang dianggotai Ibrahim sebelum dipecat beberapa tahun lalu .

Tiada ulasan: