Sabtu, 25 September 2010

BN Perlu Ada Keyakinan Menang Pilihan Raya

BERNAMA

IPOH: Semua pemimpin dan penyokong parti komponen Barisan Nasional (BN) Perak perlu mempunyai semangat kemenangan dan sentiasa bersedia menangkis segala propaganda parti pembangkang, kata Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata setiap anggota parti komponen perlu mempunyai keyakinan untuk menang pilihan raya umum akan datang.

"Kita jangan menjadi mangsa serangan psikologi yang mempengaruhi minda...Setiap ahli BN mesti ada semangat dan keyakinan untuk menang pilihan raya, mesti ada keyakinan, jangan jadi mangsa pada serangan-serangan pihak pembangkang hingga hilang keyakinan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pusat Khidmat Masyarakat Bergerak BN Perak dan Majlis Hari Raya B NPerak di Bangunan Umno di sini, Sabtu.

"Bagi memastikan kemenangan tersebut, BN perlu sentiasa bersiap-sedia menghadapi pembangkang dengan mengukuhkan jentera parti," tegasnya.

Zambry yang juga Menteri Besar Perak berkata jentera parti perlu sentiasa bersedia untuk menghadapi pilihan raya walaupun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak belum mengumumkan tarikh pilihan raya.

Beliau berkata sebagai parti yang prihatin dan dinamik sifatnya, anggota komponen BN juga perlu sentiasa bersiap sedia menghadapi pembangkang yang sering melancarkan perang psikologi.

"Kita bukan hanya mahu menjadi kerajaan yang bersifat jangka pendek, tetapi sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan memberikan yang terbaik kepada rakyat," katanya.

Beliau juga menasihati semua anggota BN supaya jangan berada dalam zon selesa dengan mengambil mudah persekitaran.

Katanya, anggota BN juga tidak harus terpengaruh dengan sentimen yang dimainkan oleh pembangkang sebaliknya perlu sentiasa bekerja kuat untuk memenangi hati rakyat.

Pada majlis itu, Zambry turut menyampaikan dermasiswa Yayasan Perak serta bantuan sara hidup untuk golongan kurang berkemampuan daripada Yayasan Bina Upaya (YBU). -

Tiada ulasan: