Jumaat, 3 September 2010

Aidilfitri: 32 stesen Petronas sedia pemeriksaan kenderaan percuma

BERNAMA

Kempen “Coffee Break” di stesen-stesen Petronas bermula dari 7 hingga 9 September. — Foto Reuters

KUALA LUMPUR — Petronas menawarkan pemeriksaan kenderaan secara percuma di 32 stesen minyak terpilihnya sempena kempen “Coffee Break” yang masuk edisi ke-11 tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Dagangan Berhad Amir Hamzah Azizan berkata perkhidmatan pemeriksaan kenderaan dilaksanakan oleh Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua), manakala krew Petronas pula bersedia memberi bantuan bagi perkhidmatan seperti membersihkan tingkap kereta dan memeriksa minyak hitam.

Katanya, kempen “Coffee Break” itu yang bermula pada 7 hingga 9 September, adalah usahasama antara Petronas Dagangan, Jabatan Keselamatan Jalan Raya, Kementerian Pengangkutan Malaysia serta rakan-rakan kempen yang menyediakan minuman dan makanan ringan kepada pelanggan.

“Selain penyertaan rakan-rakan baru, kempen kami tahun ini juga dijangka meriah dengan adanya pelbagai aktiviti baru yang menarik bagi meyakinkan para pemandu dan ahli keluarga untuk singgah berehat seketika di stesen kami,” katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa Petronas bersama media di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata kempen “Coffee Break” tahun ini menyasarkan lebih 600,000 cawan kopi akan diberikan kepada setiap pengguna lebuh raya dan jalan raya utama di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

Tiada ulasan: