Rabu, 20 Januari 2010

YBK: Melaka, NS tawar tapak kampus UiTM

Abdul Rahim Sabri




Kerajaan negeri Melaka dan Negeri Sembilan, masing-masing menawarkan tapak baru kepada Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) Selangor untuk membina kampus cawangan baru Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Sebelum ini, YBK merancang untuk membina kampus UiTM di tanah miliknya di Serendah, Rawang. Ia bakal mengandungi tiga fakulti yang menawarkan pengajian peringkat ijazah dan sarjana dan mampu menampung kira-kira 5,000 pelajar.

Tawaran itu dibuat ekoran kemelut yang dihadapi YBK ekoran usaha kerajaan Selangor yang mahukan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dilantik sebagai pengerusi yayasan itu.

Dilaporkan kerajaan negeri juga mahu tiga orang lantikan mereka memegang jawatan ahli pemegang amanah YBK, jika tidak, pembinaan kampus itu di Serendah akan dihentikan.

Pengerusi YBK Datuk Zainal Abidin Sakom berkata, tawaran tersebut telahpun dimaklumkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 19 Disember lalu.

Beliau memberitahu Malaysiakini bahawa keputusan mengenai permohonan tersebut akan diumumkan pada bila-bila masa.

"Keputusannya terserah kepada budi bicara perdana menteri," katanya.

Mengulas mengenai tindakan kerajaan Selangor itu, Zainal Abidin berkata ia mempunyai unsur politik dan "proses pengambilan YBK sedang berjalan".

“Sedangkan YBK adalah sebuah yayasan NGO yang didaftarkan di bawah Ordinan Pemegang Amanah 1952 dan ia ditadbir oleh enam anggota lembaga pemegang amanah.

"Kalau (kerajaan Selangor) nak bekerjasama, kita tak ada masalah. (Dan) tak perlu buat syarat-syarat begini.

"YBK pada asasnya ditubuhkan untuk menjalankan aktiviti membasmi kemiskinan tanpa mengira latar belakang politik. Kalau kerajaan negeri menguasai, (maka) hilanglah fungsinya sebagai NGO,” katanya.

YBK ditubuhkan oleh bekas menteri besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib ketika negeri itu diperintah oleh BN.

Ia ditubuhkan 20 tahun lalu, bercadang membangunkan kawasan seluas 190 hektar untuk pembinaan kampus UiTM di Serendah, Rawang.

Tanah tersebut adalah milik YBK yang dianugerahkan kerajaan negeri terdahulu sekitar tahun 1995.

Pada 11 Januari lalu, sebuah NGO - Bersih Bangun Selagor (BEBAS) - telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Khalid berhubung projek kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Pengerusi BEBAS, Mohd Abdul Raof Mokhtar dilaporkan berkata, kerajaan Selangor telah mengarahkan YBK melantik Khalid sebagai pengerusinya, kerana jika tidak, pembinaan kampus itu di sekeping tanah milik yayasan itu akan dihentikan.

Mohd Abdul Raof dilaporkan mendakwa ianya mengandungi unsur ugutan terhadap YBK dan meminta SPRM menyiasatnya.

Tiada ulasan: