Ahad, 10 Januari 2010

PKR Sabah Bergolak Lagi..?

Oleh: ZIELAH A (sabahkini)


MAJLIS Pimpinan PKR Negeri Sabah bergolak semula selepas Majlis Pimpinan Tertinggi Parti membuat keputusan menerima balik Dr Jeffery Kitingan sebagai Naib Presiden dan menolak perletakan jawatan Ketua Cabang PKR Kota Kinabalu, Christina Liew sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, sekaligus melantiknya menjadi Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Sabah.

Dalam mesyuarat majlis Pimpinan PKR Negeri Sabah diadakan pada petang 7 Januari 2010 lalu seramai 14 daripada 20 AJK yang hadir telah mengundi tidak percaya terhadap Christina Liew sebagai Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Negeri Sabah.

Pada Oktober 2009 ketua Cabang PKR Kota Belud, Jalumin bersama beberapa Ketua Cabang yang juga merupakan AJK Majlis Pimpinan PKR Negeri Sabah telah mengadakan komplot menyingkir Azmin Ali daripada terus menyandang Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan PKR Negeri Sabah.

Kumpulan ini yang dipercayai didalangi oleh Dr Jeffery Kitingan mendakwa mereka terdiri daripada Ketua Cabang PKR daripada seluruh Sabah, sebagai kumpulan majoriti, tidak mahu pucuk pimpinan PKR di Kuala Lumpur menentukan barisan kepimpinan PKR di Negeri Sabah.

Antara cadangan yang dikemukakan oleh kumpulan ini ialah supaya Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Sabah dipilih oleh Ahli Majlis Pimpinan PKR Negeri Sabah melalui undi suara majoriti. Seramai 18 orang daripada Ketua Cabang PKR Negeri Sabah dikatakan telah menandatangani memorandum yang kemudiannya telah disampaikan kepada Presiden.

Kandungan memorandum tersebut tidak pernah disiar tetapi dipercayai juga menuntut Dr Jeffery Kitingan dilantik menjadi Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Sabah. Setelah berjaya melaksanakan komplot mereka, pucuk pimpian PKR telah melantik Thamrin Hj Jaini sebagai Pengerusi baru menggantikan Azmin Ali.

Oleh kerana Thamrin Hj Jaini juga adalah antara Ketua Cabang PKR yang turut tandatangani memorandum menuntut Azmin Ali diganti kumpulan ini respon dengan mendakwa pucuk pimpinan Tertinggi PKR tidak demokratik dan enggan mendengar suara mereka yang merupakan majoriti dalam majlis Pimpinan PKR Negeri Sabah.

Pertelingkahan dalaman PKR memuncak apabila Dr Jeffery Kitingan meletakkan jawatannya sebagai Naib Presiden Parti kerana merajuk tidak dipilih menjadi Pengerusi PKR Negeri Sabah sebagaimana terkandung dalam memorandum yang disampaikan kepada Presiden Parti. Ianya disusuli kemudian dengan perletakkan jawatan Christina Liew sebagai Ahli Majlis Tertinggi PKR.

Drama kumpulan Dr Jeffery Kitingan ini, yang ‘master-mind’nya terdiri daripada Ahmad Shah, Hj Awang Tengah, Jalumin dan beberapa yang lain kemudian mengugut meninggalkan PKR. Mereka kemudian telah failkan permohonan mendaftar sebuah parti Politik atas nama Parti Cinta Sabah (PCS).

Kekecohan dalam PKR reda seketika apabila DSAI berkunjung ke Sabah pada 20 Disember 2009 untuk merasmikan majlis penutupan konvesyen PKR.

Ketika konvensyen berlangsung ramai ahli menyatakan bahawa tindakan Dr Jeffery Kitingan mengugut pucuk pimpinan tertinggi parti sebagai keterlalauan. Ramai juga mahukan supaya tindakan disiplin sewajarnya diambil teradap semua mereka yang terlibat dalam tindakan mencemar nama parti dengan membawa urusan dalaman PKR ke dada akhbar yang dilihat sebagai berniat sabotaj.

Akibat gangguan demi gangguan yang tidak berkesudahan, PKR Sabah dengan barisan pemimpin yang matang dan berpengalaman telah menjadi lemah. Segala tenaga serta ‘resources’ mereka terbuang sia-sia menangani karenah kumpulan yang sering membuat kacau dalam PKR. Ada di antara ahi PKR secara terang-terangan menuduh kumpulan ini sebagai agen UMNO yang sudah sepatutnya diusir keluar.

Menurut seorang AJK yang enggan namanya disebut, tindakan mengadakan undi tidak percaya terhadap Chritina Liew adalah sebagai menyahut cadangan kumpulan Dr Jeffry Kitingan yang mendesak pucuk pimpinan Tertinggi PKR supaya membenarkan suara majoriti menentukan barisan kepimpinan PKR Negeri Sabah.

“Kami bersetuju sangat dengan cadangan kumpulan Dr Jeffery Kitingan supaya barisan pimpinan PKR negeri Sabah dibuat melalui pemilihan. Insha Allah selesai saja pemilihan Ketua-ketua cabang di seluruh Sabah kelak kami akan dapat bersihkan semua pengkhianat daripada PKR Sabah,” ujar seorang Ketua Cabang yang turut hadir menyokong undi tidak percaya terhadap Christina Liew.

Kata seorang AJK lagi secara gurauan, “saya harap keputusan ini tidak menyebabkan ibu Christina masuk ICU.”

Tiada ulasan: