Isnin, 18 Januari 2010

Perompak tebuk dinding tiga kedai

Oleh Nurhayati Abllah

IPOH: Sekumpulan penjenayah dikesan menebuk dinding tiga premis kedai sebelum melarikan barangan kemas bernilai lebih RM400,000 dari sebuah kedai emas, di Gunung Rapat, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian antara jam 12 tengah malam hingga 3 pagi itu, kumpulan penjenayah terbabit dikesan menggunakan peralatan berteknologi tinggi termasuk penggerudi buatan Jerman untuk menebuk lubang pada dinding peti besi menyimpan barang kemas.

Timbalan Ketua Polis Ipoh, Superintendan Ibrahim Abu Bakar, berkata suspek dikatakan menceroboh masuk ke dalam kedai emas itu melalui dinding tandas kedai yang ditebuk.

“Kumpulan penjenayah itu dipercayai mengambil masa lebih dari tiga jam untuk melakukan kerja itu kerana terpaksa menebuk dinding kedai runcit dan kedai gunting rambut bersebelahan, sebelum memecah masuk ke kedai emas itu melalui tandas,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, rompakan itu dipercayai dilakukan lebih daripada dua suspek dan dianggotai kumpulan sindiket berkemahiran tinggi.

“Modus operandi kumpulan terbabit iaitu memecahkan dinding premis adalah kejadian pertama dilakukan di negeri ini.

“Siasatan awal polis menemui sarung tangan dan puntung rokok dipercayai milik suspek. Polis masih menjalankan siasatan terperinci mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sementara itu, pengurus kedai berkenaan, Mejar (B) Roslan Zakaria, 51, berkata, rompakan itu kali kedua berlaku di kedainya kerana kejadian sama pernah berlaku dua tahun lalu, sehingga beliau kerugian lebih setengah juta ringgit.

“Kedai saya pernah dirompak kumpulan bersenjata dua tahun lalu dan kini berlaku kembali. Saya pasrah dengan takdir dan menerima kejadian itu sebagai satu ujian,” katanya ketika ditemui, di tempat kejadian semalam.

Beliau dimaklumkan kejadian itu oleh pemilik kedai runcit bersebelahan yang membuka kedai pada jam 7.30 pagi.

“Sebaik dimaklumkan, saya bergegas ke kedai dan mendapati semua barang kemas dipamer dan disimpan dalam peti besi termasuk barang kemas tempahan pelanggan hilang," katanya.

Katanya, penjenayah itu dipercayai menggunakan peralatan berteknologi tinggi kerana boleh menggerudi dinding peti besi untuk mengeluarkan barangan kemas serta wang tunai tanpa meletupkan peti berkenaan.

“Saya percaya beberapa peralatan digunakan penjenayah itu adalah buatan dari Jerman. Mereka (penjenayah) juga sempat memutuskan wayar penggera keselamatan di dalam kedai bagi mengelak perbuatan mereka disedari orang awam.

“Saya yakin mereka sudah ‘meninjau’ struktur premis itu sebelum memecah masuk. Malah, saya ada diberitahu pekerja kedai yang mengatakan ada tiga lelaki tidak dikenali dan berkelakuan mencurigakan minum kopi di kedai bersebelahan sehingga lebih jam 12 tengah malam iaitu beberapa jam sebelum rompakan berlaku,” katanya.

Tiada ulasan: