Khamis, 7 Januari 2010

Nasib Presiden Makkal Sakti Sabtu ini

SINAR HARIAN ONLINE


SHAH ALAM – Nasib Presiden Parti Makkal Sakti Malaysia, R S Thanenthiran, akan ditentukan apabila mesyuarat luar biasa (EGM) diadakan di ibu pejabatnya di sini, Sabtu ini.

Setiausaha Agungnya, R Kannan berkata, mesyuarat bermula jam 9.30 malam itu akan menentukan sama ada Thanenthiran dikekal atau digugurkan daripada jawatan itu.

“Sebahagian besar daripada 27 ahli Jawatankuasa Pusat (CC) dijangka hadir di mesyuarat itu,” katanya kepada :Sinar Harian: semalam.

Menurutnya, semua ahli CC telah dimaklumkan mengenai EGM itu.

Beliau mengulas laporan sebuah portal berita bahawa tindakan akan diambil terhadap Thanenthiran setelah kumpulan dipimpin oleh Timbalan Presiden parti, A.Vathemurthy, mendesaknya meletak jawatan.

Kumpulan itu mendakwa menerima sokongan lebih 15 daripada 27 anggota CC.

Kannan berkata, Thanenthiran menghadapi empat tuduhan, termasuk tidak mengendahkan desakan majoriti CC supaya beliau meletak jawatan secara rasmi.

“Setelah kedudukan Thanenthiran ditentukan, satu mesyuarat akan diadakan untuk melantik Presiden baru,” katanya.

Parti Makkal Sakti yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Pengerusi Barisan Nasional, pada 10 Oktober lalu dilihat sebagai parti politik alternatif untuk masyarakat India.

Thanenthiran tidak dapat dihubungi kerana berada di India sejak kelmarin dan dijangka pulang Khamis ini.

Tiada ulasan: