Sabtu, 16 Januari 2010

Media alternatif diajak berdialog dengan SPRM

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Semua editor media alternatif diajak bersama-sama menghadiri sesi dialog dengan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abu Kassim Mohamed.

Pihak akhbar rasmi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Suara Keadilan meminta satu pertemuan diadakan dengan Abu Kassim bagi mendapatkan penjelasan berhubung amarannya akan mengenakan tindakan terhadap pihak yang membuat laporan kes rasuah dan mendedahkan maklumat mengenainya kepada umum.

Pertemuan itu juga bagi mendesak SPRM agar menghentikan usaha menindas dan menekan pihak media yang hanya menjalankan tugas dan tanggungjawab sosial mereka.

Editornya, Dzulkarnain Taib memberitahu, pihaknya telah menulis surat kepada Abu Kassim meminta diadakan pertemuan tersebut.

Pejabat SPRM teah pun menyatakan persetujuan terhadap perkara ini dan akan memaklumkan tarikh dan masa yang sesuai bagi dialog tersebut dalam masa terdekat ini.

"Kami memandang amat serius sebarang usaha untuk mengekang dan menafikan perkembangan larangan media yang bebas dan bertanggungjawab," katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Abu Kassim memberi amaran akan mengenakan tindakan di bawah Seksyen 29(4) iaitu penjara selama dua tahun dan denda sebanyak RM100,000 terhadap pihak yang melanggar larangan berkenaan.

Beliau juga berkata, tindakan juga boleh dikenakan ke atas wartawan yang turut melaporkan maklumat-maklumat yang telah didedahkan itu termasuk mengambil tindakan sekiranya pelapor berkenaan mendedahkan maklumat-maklumat tersebut dalam ceramah-ceramah.

Tiada ulasan: