Rabu, 6 Januari 2010

Majlis Peguam bela kenyataan Guan Eng

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan hari ini menegaskan, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tidak melanggar mana-mana undang-undang apabila membuat kenyataan bahawa Teoh Beng Hock mati dibunuh.

Katanya, ia disebabkan konsep sub judice adalah lapuk dan tidak lagi relevan untuk diguna pakai di negara ini.

Menurutnya, ini kerana pada asalnya, sub judice diperkenalkan bagi mengelak juri yang mengendalikan sesuatu kes terpengaruh dengan pandangan pihak luar terhadap kes yang sedang berlangsung.

"Namun, sistem juri di negara kita tidak lagi diguna pakai dan setiap kes akan diadili oleh para hakim yang bijaksana.

"Dengan itu, hakim yang dilantik sepatutnya perlu bijak mengendalikan sesuatu kes tanpa dipengaruhi pandangan pihak lain," katanya.

Justeru beliau yang dihubungi Utusan Malaysia berkata, atas dasar prinsip demokrasi, Guan Eng berhak untuk melontarkan pandangannya terhadap kes kematian Beng Hock.

Ragunath berkata demikian ketika diminta mengulas artikel di ruangan Forum Utusan Malaysia hari ini yang tidak senang dengan tindakan berdiam diri Majlis Peguam berhubung kenyataan Guan Eng itu.

Penulis yang hanya mahu dikenali sebagai The Tycoon itu berpendapat, siasatan ke atas kematian Beng Hock sedang berlangsung dan ia tidak sepatutnya dibincangkan di luar mahkamah.

Ini kerana katanya, ia akan melanggari prinsip sub judice seperti yang diputuskan oleh Hakim Spencer Wilkinson dalam kes Pendakwa Raya lawan Penang Municipal Services Union & Ors.

Justeru, penulis berkenaan mencabar Majlis Peguam agar bertindak tegas dalam mempertahankan proses keadilan serta mendidik ahli politik dan masyarakat agar lebih menghormati sistem kehakiman negara.

Tiada ulasan: