Jumaat, 8 Januari 2010

Kerajaan beri jaminan harga petrol mungkin turun

BEITA HAIAN ONLINE


SUBANG: Kerajaan memberi jaminan harga runcit petrol sekarang tidak kekal dan akan diturunkan jika harga minyak mentah dunia mencatatkan penurunan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, masalah berkaitan kenaikan harga barang menjadi agenda utama untuk ditangani kerana ia memberi kesan langsung dan berkait rapat dengan rakyat.

“Ada yang buat spekulasi harga petrol akan naik. Saya tegaskan perkara itu tidak akan berlaku. Malah, kerajaan mahu turunkan harga petrol.

“Kalau harga minyak turun, kerajaan akan turunkan harga petrol dan itu yang kita (kerajaan) akan lakukan. Namun, buat masa ini harga petrol di pasaran tidak berubah,” katanya selepas menghadiri Majlis Pelancaran Identiti Korporat Baru F&N di sini, semalam.

Ketika ini, harga petrol RON95 dijual pada harga RM1.80 seliter manakala RON97 iaitu petrol gred premium dijual pada harga RM2.05 seliter.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail berkata, dua harga petrol berbeza untuk warganegara Malaysia dan bukan warganegara akan diperkenalkan bermula 1 Mei ini.

“Bagi warganegara, pelaksanaan harga petrol ditentukan berdasarkan kapasiti

enjin kenderaan, bermakna bukan semua warganegara akan menikmati subsidi.

“Bagi bukan warganegara, harga petrol dikenakan mungkin lebih tinggi. Bagi RON 95, kita beri subsidi sebanyak 30 sen setiap liter. Harga sekarang ialah RM1.80 berbanding harga sebenar iaitu RM2.10,” katanya.

Tiada ulasan: