Khamis, 14 Januari 2010

Hebah aduan rasuah kena penjara

Oleh Sazarina Shahrim

PUTRAJAYA: Mana-mana individu yang mendedahkan kepada umum laporan dibuat bersabit kes rasuah ketika siasatan kes masih berjalan boleh dikenakan hukuman penjara dua tahun atau denda RM100,000 atau kedua-duanya sekali.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abu Kassim Mohamed, berkata tindakan mengikut Seksyen 29 (4) Akta SPRM 2009 itu akan diambil mulai sekarang terhadap pihak yang menghebahkan aduan rasuah yang dibuat kepada agensi berkenaan, termasuk di media massa atau ceramah politik.

Katanya, aduan atau apa saja dokumen sokongan yang diserahkan kepada SPRM tidak boleh didedahkan kepada umum bagi mengelakkan siasatan terjejas termasuk kemungkinan saksi atau suspek menghilangkan diri.

"Seksyen itu menyatakan sesuatu aduan hendaklah dirahsiakan dan tidak boleh didedahkan kepada sesiapa pun selain daripada pegawai SPRM dan pegawai pendakwa raya sehingga tertuduh dituduh di mahkamah," katanya pada sesi taklimat bersama media di pejabatnya di sini, semalam.

Ia sesi pertama sejak beliau mengangkat sumpah ke jawatan itu.

Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Shukri Abdull dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Datuk Zakaria Jaafar Mohamed.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Bebas Bangun Selangor (Bebas) yang mendedahkan laporan yang dibuat kepada SPRM Isnin lalu kepada media, berhubung dakwaan campur tangan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, dalam projek pembinaan kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) di atas tanah milik Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) di Serendah, Selangor.

Abu Kassim berkata, tindakan pengadu dan media yang melaporkan aduan belum disiasat boleh mengaibkan seseorang atau pihak dituduh sebelum didapati bersalah.

"Ia juga akan mengganggu siasatan SPRM dan menyebabkan orang dituduh itu dibicarakan secara terbuka.

"Dalam hal ini kepentingan kerahsiaan itu penting. Apabila aduan dihebahkan pada peringkat awal, mungkin saksi sudah hilang dan apabila ini berlaku, SPRM tidak berjaya menyelesaikan siasatan, selepas itu kita pula dituduh tidak berkesan," katanya.

Beliau juga menyangkal tindakan itu akan menyekat kebebasan media sebaliknya ia lebih kepada soal hak dan keadilan kepada pihak yang dituduh dan pengadu.

"Adakah adil kepada mereka ini dibicara secara umum walaupun mereka belum didapati bersalah? Saya ingin tegaskan bahawa bukan kita saja yang mempunyai peraturan ini, tetapi di Hong Kong juga ada dan mereka sudah pun menggunakannya," katanya.

Mengenai tindakan pembangkang yang banyak mengkritik SPRM secara umum, beliau berkata, pembangkang mempunyai wakil dalam Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah di bawah Parlimen yang boleh memanggil pegawai suruhanjaya untuk mendapat penjelasan terhadap apa saja keraguan.

"Jawatankuasa ini akan membuat pemantauan terhadap laporan tahunan SPRM. Mereka boleh memanggil SPRM untuk mendapatkan penjelasan terhadap keraguan yang mereka ada. Kita akan memberikan bukti, jadi tiada ruang mengatakan mereka (pembangkang) tiada peluang berinteraksi dengan kita," katanya.

Beliau berkata, SPRM bercadang menggunakan Panel Penilaian Operasi untuk membantu menghebahkan kepada orang ramai mengenai status kes berprofil tinggi yang dilaporkan media, tetapi dikelaskan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) atau tiada kes untuk mengelakkan keraguan umum.

Mengenai kes penyiasat persendirian, P Balasubramaniam, yang membuat lapan pendedahan termasuk beliau ditawarkan wang RM5 juta untuk menarik balik akuan bersumpahnya bertarikh 1 Julai 2008, Abu Kassim meminta lelaki itu tampil memberi keterangan sebagai saksi utama bagi melengkapkan siasatan.

"Kita meminta beliau datang atau berjumpa SPRM di mana saja untuk kita mengambil keterangannya tanpa syarat. Kita tiada masalah (untuk mengambil keterangan di luar negara)," katanya.

Tiada ulasan: